Seminggu berhari raya... - masam manis f

Breaking

Aug 27, 2012

Seminggu berhari raya...

Assalamualaikum..

Apa khabar semua rakan-rakan ita tersayang. Rasa-rasanya belum terlewat lagi untuk ita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua umat islam di seluruh dunia.. Biar di mana sahaja semuanya berada.
Ampun dan kemaafan ita hulurkan kerana tidak berkesempatan untuk melayangkan kad ucapan penganti diri. Begitulah perancangan yang telah di atur, walau sehebat mana pun perancangannya, kalau tidak diizinkan oleh Nya.. maka kita harus reda..


Sebenarnya ita memang cukup sibuk di akhir Ramadhan, hingga minit - minit terakhir. Ita sangkakan ita dapat bersiaran dari Kota Bahru, malangnya line internet pula bermasalah. Jadi ita terpaksa melupakan blog buat sementara waktu, walaupun hati gundah gulana dibuatnya..

Sebagaimana yang ita beritahu lebih awal, ita beraya di Kota Bahru tahun ini. Ita pulang beraya pada pagi Jumaat selepas bersahur. Pada mulanya kami merancang untuk pulang pada hari Khamis tapi terpaksa batalkan di saat akhir kerana anak ita Azrul pulang agak lewat dan terpaksa mencari beberapa keperluan anak-anak yang masih tidak mencukupi.


Alhamdulillah sempat juga berpuasa sehari bersama keluarga mertua.
Perjalanan dari Johor Bahru, alhamdulillah bergerak lancar. Tiada kesesakan jalan raya pada hari ita pulang, cuma sedikit sesak bila kereta mula memasuki sempadan Kelantan. Kenderaan telah mula bersusun atas jalan raya, semuanya mau segera pulang ke kampung bertemu kaum keluarga dan sanak saudara.

Ita sampai di Kota Bahru lewat malam. Kami banyak berhenti rehat, kerana cuaca yang sangat panas dan pada waktu itu pula kita berpuasa. Cuaca yang panas buatkan mata cepat terlelap. Kami berhenti rehat di beberapa masjid yang kami singgah, disamping menunaikan solat.
Penat memang penat, kerana terlalu lama berada di dalam kenderaan. Anak-anak juga dah mula mengeluh, kepenatan.


Walaupun penat dan badan terasa amat letih, ita gagahkan diri juga untuk membantu mertua mengemas rumah, menukar langsir, mengemop dan lain-lain lagi. Mujur ada anak-anak dan adik ipar membantu, kami lakukan tugas dengan bergotong- royong.

Petang itu pula ita dan suami goreng mi untuk berbuka puasa. Ita juga sediakan menu untuk juadah hari raya. Ita masak ayam masak merah kesukaan anak-anak. Buat sambal tumis udang untuk dilawankan bersama kuah lodeh. Kemudian kami merebus pula nasi impit. Mertua ita pula menyediakan rendang dan kari ayam. Pada masa tu ita dah tak dapat nak membantu, kerana ita cukup letih dan terasa macam nak pitam. Lepas solat Insyak, ita terus tertidur hingga ita sadar bila azan subuh berkumandang bersekali dengan alunan takbir raya yang sangat mensyadukan..

Kerana tahun ini hanya ita dan keluarga sahaja yang pulang, jadi tugas terasa sangat berat untuk dipikul. Adik ipar ita pula ada anak kecil.


Suasana Hari Raya di Kota Bahru, memang agak berlainan dengan di Johor. Lepas solat Subuh jiran-jiran dan mula datang beraya. Ita terasa sangat kelang kabut waktu itu kerana terpaksa menguruskan seorang diri. Seluruh anggota keluarga pergi ke masjid menunaikan solat Hari Raya. Walaupun ita teringin nak pergi bersolat bersama, tapi ita tahu yang jika ita pergi pasti bila balik dari masjid ita akan lebih stres kerana semua persiapan belum di sediakan sedangkan tetamu sudah mula datang bertandang.

Ita terpaksa sediakan seberapa segera sebelum semuanya pulang dari masjid. Bila mereka balik dari masjid semua dah mula mengeluh kelaparan.


Sehari ita berada di dapur menghidangkan juadah buat tetamu yang tak putus-putus dan silih berganti. Tak menang tangan dibuatnya dan tangan ni tak pernah kering. Cuci pinggan dan hidang semula, itulah tugas ita sepanjang hari hingga ita tak sempat menukar baju raya.. alahaiii terasa sedih pula.. tapi nak buat macam mana dah namanya tanggungjawab sebagai menantu sulung.

Kami juga tak dapat merakamkan gambar hari raya kerana tetamu yang tak putus-putus.. aduh.. sedihnya..
Malam itu ita tidur dengan perut kosong kerana terlalu kepenatan hingga ita tak lalu nak makan..


Hari raya kedua, orang dah mula jemput datang kenduri. Begitulah adat beraya di Kelantan, mereka suka menjamu jiran tetangga dan sanak saudara. Biasanya hari raya pertama lagi dah ada kenduri sana sini. Hari raya kedua juga ramai yang merebut peluang untuk melakukan puasa sunat 6 hari pada bulan Shawal. Mengikut sunah sebaik-baiknya kita lakukan puasa sunat Shawal pada 2 Shawal, tapi bagi mereka yang ada tertinggal puasa tu wajiblah kita dahulukan yang wajib, sebelum lakukan yang sunat.

Hari kedua ita buat nasi beryani gam. Ita masak 5 kilo nasi. Ita juga sediakan ayam goreng berempah dan ayam masak kurma bersama acar timun dan nenas.

Hari kedua tugas ita tetap sama, memasak, menyediakan hidangan dan mencuci pinggan. Hari kedua juga ita masih tak berkesempatan untuk menyalin baju raya. Akhirnya ita pakai juga baju raya pada lewat petang raya ke 2 itupun kerana terpaksa pergi jamuan rumah saudara. Ita sampai pun agak lewat semua tetamu dah pulang dan makanan pun banyak yang dah habis.
Tuan rumah menyediakan nasi kerabu dan laksa Penang. Ada juga roti jala bersama kuah kari dan tapai pulut.


Hari Raya ke 3, kami beraya pula ke rumah saudara mara suami. Cuaca yang panas dan kesesakan jalan raya yang agak teruk buatkan mood beraya seakan pudar. Anak-anak pun dah mula berbisik ajak pulang kerana dah tak larat nak beraya dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Biasa lah budak-budak sekarang, lebih-lebih lagi yang dah bujang, mereka ni tak suka sangat beraya atau jalan bersama mak dan ayah.
Ita pula memang terasa sangat penat waktu itu, penat dari Johor yang terbawa-bawa hingga ke Kelantan.

Balik dari beraya ita dah mula terasa tak sedap badan, tekak dah terasa perit, mungkin terlalu banyak minum air batu dan makan kuih raya. Ita terpaksa menolak ajakan mertua yang mengajak lagi beraya ke rumah mak cik suami dan jiran sebelah rumah yang membuat jamuan. Akhirnya ita terlelap hingga suami mengejut untuk solat Maghrib.


Hari ke 4, kami dah mula berkemas untuk pulang. Walaupun badan ita memang sangat letih dan rasa dah tak larat sangat rasanya, namun bila lihat suami tersenyum gembira kerana dapat beraya di kampungnya, ita pun tumpang gembira. Bila badan ita penat, ita selalu berbisik dalam hati, mungkin inilah hari raya ita yang terakhir bersama mereka, akan adakah hari raya lagi untuk ita bersama mereka ditahun hadapan..

Saat kereta meninggalkan perkarangan rumah mertua, hati ita mula berbisik.. siapalah nak bantu mertua ita, bila ita pulang.. banyak lagi anak buahnya yang belum datang beraya di rumah.. perasaan simpati mula menyelinap di minda..

Perjalanan pulang ita melalui jalan di persisir pantai Terengganu. Ita suka sangat kalau lalu Terengganu, kerana sepanjang jalan kita di sajikan dengan pemandangan yang sangat cantik! laut yang membiru dengan pohon-pohon niur yang melambai. Udara pantai yang sungguh nyaman dan pemandangan rumah-rumah kayu usang yang sangat mengamit nostalgia.


Ita sempat singah di satu kawasan yang sangat cantik di salah satu kawasan kalau tak silap ita di sekitar Rantau Abang. Pokok-pokok Alkasia (kalau tak silap lah..) yang tumbuh di paya di tepi tasik sangat cantik! pokok-pokonya sangat rindang dan rimbun. Kalau dahulu lagi cantik dan tenang aje kawasan tu seperti dijaga rapi, tapi sekarang oleh kerana terdapat kerja-kerja pembesaran jalan ia seakan tidak di jaga, tapi masih indah dipandang.
Kami sempat turun dan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan, bimbang pula kalau kawasan yang secantik itu di musnahkan..


Dalam perjalanan ke JB kami singah di Terengganu dan bermalam di sana. Kami menyewa chelet di tepi pantai berhadapan dengan Pulau Kapas. Inilah peluang untuk ita berehat dan menenangkan diri bersama anak-anak.


Pantai Terengganu yang putih, laut yang terbentang luas membiru, desiran ombak dipantai dan daun nyiur yang melambai-lambai, buatkan hati terasa sangat tenang..
Melihat anak-anak berlari-lari di gigi pantai buatkan badan yang penat terasa kebah kembali. Malam itu kami makan seafood di restoran di tepi pantai itu. Ita dan suami makan nasi goreng kampung, Dalili pula makan nasi putih bersama lauk-pauk sea food yang kami order. Manakala Azrul dan Amirul makan nasi paprik. Sedap juga makan di situ, lupa pula apa nama restorannya. Tidur ita terasa nyenyak sangat malam itu...

Esok pagi suami mengajak makan di luar. Kami mencari warung-warung lama untuk menikmati juadah sarapan pagi kami. Sebenarnya suami ita mengidam nak makan nasi dagang Terengganu. Selepas bersarapan dan melayan kerenah anak-anak, kami meneruskan semula perjalanan ke JB. Pada mulanya suami mengajak tidur semalam lagi di Kuantan, tapi anak-anak menolak kerana tugasan yang diberikan guru belum diselesaikan lagi.

Sepanjang perjalanan ramai peniaga dah mulakan perniagaan mereka. Banyak gerai jagung, kacang dan air nira di sepanjang perjalanan.


Kali ini perjalanan agak tersekat-sekat, kenderaan dah mula memenuhi jalan raya. Semua nak menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang pulang dari beraya, ada yang pergi makan kenduri dan tak kurang juga yang baru pulang dari kampung.

Akhirnya kami tiba di rumah dengan selamat. Syukur kepada Allah, walaupun menempuhi kesesakan dan keletihan.
Sampai dirumah bukan masanya untuk bersenang lenang, banyak tugas yang masih menanti. Kain baju yang 4 beg harus dicuci dengan segera. Ita juga harus menyiapkan biskut raya yang diminta anak-anak untuk di bawa pulang ke asrama. Rumah juga harus dikemas rapi untuk menerima kunjungan tetamu. Aduh... banyaknya tugas.. alahaiii... penatnyaa..

Pagi hari ke 6, ita bangun dengan rasa badan yang dah mula dedar.. hidung dah mula tersumbat dan tekak semakin perit.  Namun ita gagahkan diri juga untuk membuat semua tugasan yang tak selesai lagi. Kena buat biskut dan kek untuk anak-anak.. arghhh... penatnya...

Petang itu ita mendapat panggilan telefon dari idola kesayangan ramai iaitu Adnan Ibrahim atau lebih mesra sebagai CMG. Beliau mengundang ita ke rumahnya. Menurut beliau kak Ummi juga akan turun dari Kuantan ke sana. Pucuk di cita , ulam mendatang.. seronoknya kerana ita bakal bertemu dengan 2 idola kesayangan ita. Walaupun ita dah rasa tak sedap badan tapi ita tak kan lepaskan peluang bertemu dengan mereka berdua.


Jeng.. jeng.. akhirnya sampai juga ita ke teratak Mat Gebu. Ita di sambut dengan mesra oleh Mat dan keluarga. Ibu dan ayah Mat sangat ramah melayan kami berborak sementara menanti kedatangan kak Ummi dan keluarga dari Kuantan.

Akhirnya... dapat juga ita bertemu dengan Kak Ummi. Segan sangat ita rasa bila jumpa kak Ummi. Orangnya sangat ramah dan sangat mesra.. ita pula alahaiii.. macam hilang punca pula tak tau nak berbual apa.. malu sangat.. tapi dalam hati rasa macam nak peluk aje kak Ummi yang comel dan manis tu..


Inilah gambar kenangan kami bertiga, ita, kak Ummi dan Mat yang sedang merakamkan gambar kami. hihi.. nampak tak telinga mat yang putih tu..

Kepada Mat dan keluarga, akak merakamkan jutaan terima kasih banyak-banyak atas layanan yang sangat baik, makanan yang terhidang cukup membuka selera ditambah lagi cuaca diluar yang dingin lepas hujan, membuatkan semua tetamu seakan sayang nak meninggalkan meja makan..

Mat seakan tau aje selera akak, kedua-dua hidangan yang disajikan adalah fav akak, laksa Johor dan soto aduhaiii.. sedap-sedap semuanya.. Buah tangan yang diberikan juga.. alamakkk... memang kegemaran akak.. sampai balik akak masih memikirkan.. Mat ni macam tau aje apa yang akak suka... Terima kasih sekali lagi.. mat..


Terima kasih juga kepada kak Ummi atas buah tangan tu.. segan aje ita tak bawa buah tangan untuk kak Ummi. Semoga kita dapat bertemu lagi..

Ahad, hari ni ita kena bersiap lebih awal kerana nak menghantar anak-anak pulang ke asrama. Bimbang pula jika terlewat akan tersekat pula dalam kesesakan jalan raya, maklumlah musim perayaan.


Sebelum pulang, ita singgah rumah mak ita di Skudai. Anak-anak ita nak bertemu atuk mereka sebelum pulang.

Ita sampai kerumah lewat petang, jalan raya juga dah mula sesak dengan kenderaan yang nak pulang ke rumah, maklumlah cuti sudahpun berakhir..

Walaupun penat, ita rasa sangat gembira. Raya tahun ni banyak meninggalkan kenangan yang terindah untuk ita simpan sebagai satu memori..








46 comments:

Ummi said...

Assalam Ita, sonok tgk gambar2 Ita kat Tganu tu...cantik tempat tu eh...pastu daring habis dgn cik abg tu..hehee... Sonok sangat dapat jumpa Ita yg ayu sopanzz ni kat Sedenak..segan jgk akak sbb akak ni kalau dh jumpa Mat xleh kontrol Ita...hahaha.. Tp hb Ita pun ramah, so lg rancak la akak...hehe, kalah tuan rumah tu ha...

Semoga kita akan dipertemukan lagi dan ukhwah yg terbina kekal baik selamanya.. Time kasih juga apa yg diberi kat akak tu...tiba2 malu akak...Moga dpt akak panjangkan di sana nnt...insyaAllah... Sayang selalu dr akak...muaahhh!

*akak pun x upload entry lgk ni...smlm seharian kemas rumah, akak x jadi ke Shah Alam, hb n Najwa je hantar Najiha. Akak terpaksa kemas rumah yg mcm tongkang pecah sejak balik raya, anak2 dara pun xdan nak kemas asyik ke hulu hilir beraya...xdan gak update bila family adik n kawan abg dtg bertandang mlm td...huhu

EmbunRosaliza said...

Selamat hari raya ita, seronok tgk gambar2. Ramai sedara memang best la raya kat klate, dan memang sangat penat heheh

Fatimah said...

As salam, perkongsian raya yg best. Galit sy membacanye.. Selamat Hari Raya jua utk Azlita.

Zalinah Basir said...

Selamat hari raya Ita.. maaf zahir & batin..

NORLYDA YUSOFF said...

Salam.
SELAMAT HARI LEBARAN
Dari kami sekeluarga di Muar Jhr.
Akhirnya seminggu sudah berlalu.
Bila Ita nak buat rmh terbuka?
Jalan2 di Muar jemput lah ke taratak akak.

Azie said...

Cantik cantik gambar Ita

ct.smile said...

salam.. Kak ita singgah kt kg saya...kalau saya tau mesti saya pergi cari akak...he..selamat hari raya kak..!

ct.smile said...
This comment has been removed by the author.
norhanim md zain said...

Assalamulaikum ita..seronok baca cerita raya ita..Selamat Menyambut Aidifitri untuk ita sekeluarga dari Kak Anim sekeluarga di Kedah.

Aku said...

Cantiknya kak gambar2 tu semua!

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

Seronoknya baca kisah raya Kak Ita...

Choco Ani said...

Salam Aidilfitri utk Ita sekeluarga.. Pasti allah menganugerahkan yang terbaik utk Ita atas sumbangan tenaga yang tak terkira sepanjang beraya di kelantan.. Insyaallah Aminn..

Mat Gebu said...

SALAM KAK ITA...

CINA PEKAN GORENG BERANGAN,
BERANGAN DATANG DARI PONTIAN,
AMPON MAAF ATAS KEKURANGAN,
TERIMA KASIH ATAS KESUDIAN...

fazian.batrisyia said...

Selamat hari raya kak ita & family. Menantu yg baik...sama lah kaedahnya cam sy ni hb anak tunggal so, kitalah pembantu setia mentua...

Cik Puan Izan❤ said...

masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan selamat hari raya kpd kak ita sekeluarga... meriah raya akak tahun ni...

Unknown said...

SALAM LEBARAN KAK ITA. Tie memang peminat kak ita, gambar2 kak ita memang menarik. Mula2 Tie meminati dunia blog ni, kak ita lah sumber insipirasi Tie. kak Ita bolehla melawat blog tie yang tak seberapa tu. Tag gambar tak bolehla secantk kak ita sebab tak mampu lagi nak beli kamera canggih manggih..

Sue said...

Salam aidilfitri dan salam ukhuwah berpanjangan utk seisi keluarga!

bersama kak Es said...

anak2 kak ita dah besar tapi maknye muda lagi :)
Cantik la kak gambar2 kat terengganu

Kak Sam said...

Assalamualaikum....
Ciptaan indah oleh Yang Maha Esa, diabadikan dengan cukup menarik.
Selamat Hari Raya kak

susumanis said...

terapi minda yang sangat best dgn picas yang cantik dari blog ini, tqvm ita :))

Puan Eka said...

seronoknya tengok kak ita beraya...

tapi memang penat raya kali ni..tak jalan sangat pun..setakat duduk rumah nenek dan tolong hidang apa yg patut...

makcik yg rajij buat kerja semua dah balik rumah mertua..jadinya giliran kami la berhempas pulas

selamat hari raya kak ita..dalili comel betol

diadiamok said...

selamat hari rayeee.. :)).... harap2 berkesempatan raye rumah akk.. hik3.. :)

Nina Mirza said...

As'salam Kak Ita ....

Salam Aidilfitri.
Seronok nya tengok semua gambar2 kak Ita. Nina paling suka ayat 'positive thinking' akak tuu (akak buat yg sebaik mungkin walaupun kepenatan) - 'mungkin ini kenangan syawal yang terakhir'
Berbunga2 rasa hati nak beraya ngan kak Ita tahun nie... tapi kak ita pula beraya kat kelantan. Insya'Allah tahun depan Nina singgah beraya ngan kak Ita ehh..
akak, masa perjalanan balik dari S'pore ke KL Nina sempat singgah teratak Sifu Che Mat Gebu tau!
Betapa gumbira rasa hati nie Allah sajer yang tahu dapat bersua secara langsung ...!!
hehehe . . .
take care & get well soon kak Ita ..

Mrs & Miss Vanilla said...

Slmt Hari Raya Ita. Hari2 jenguk bila lah Ita nak update sbb nak tgk kek kat rmh Ita, mesti cun2. Semuga cepat sembuh ye...

Shiela said...

Selamat hari raya n maaf zahir batin Ita..

MyStory,CouldBeYours said...

baca cerita akk pon da rasa penat, sy kna driver umi sy pon terus demam.. Tp mijur kna raya ke 10 ni... Huhuhuhu

Love2cook Malaysia said...

Awwww they are all beautiful pics! After all what is a festive without family and kids kan. Hope you had a fabulous Raya kak! :)

ZURA said...

SELAMAT HARI RAYA KAK ITA & KELUARGA......SERONOK TENGOK GAMBAR2 YG CANTIK TU......

Batu Adventure said...

selamat hari raya idul fitri :)
Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...

CA said...

Salam aidilfitri buat kak ita..
walaweii behhnya dapat jumpa kak ummi..my idola jugak tu...huhuhu...

Thanks share keindahan kat ganu..memang sanntikkk...gambo kak ita seme sanntikkk...

Anonymous said...

Selamat Hari Raya Kak Ita. Kita banyak guna resepi akak untuk juadah raya ni =D

MyStory,CouldBeYours said...

akk tetb saya terfikir, knp blog x ader butang like..... Saya baca cerita akk pon da rase penat.... Huhuhu, akk mmg pyabar btol.... Blog akkda jadi blog favorite saya (>_<)

======= said...

salam kak ita. saya mohon nak copy paste resepi almond rocher sbb teringin nak rasa.
pastu ada lagi satu soalan - if u dont mind --- nak tanya kak ita guna camera jenis apa & lense apa? cantik betul gambar. tqvm

HaSue said...

Assalamualaikum kak ita..
Selamat hari raya aidilfitri buat akak sekeluarga.. Sy nak minta maaf zahir batin dr kak ita sekiranya pernah mengguris hati akak n tersalah silap kate spjg terjebak dr dunia blogging n fb ni. Tak pnh terlintas nak guris hati sesapa,maklom la dlm ayat bgurau kdg2 ada org x bole terima kn..
Semoga kak ita terus maju jaya n terus berkongsi ilmu melalui blog n fb.. :-)

Tak dpt bygkan kpenatan yg kak ita lalui..huhu

Shasha Mohamed said...

Line internet tak bagus raya ni? Mmm... Kesian betul, saya faham kalau internet down.

wlau camnerpun nampak meriah sungguh raya ni. Selamat bergembira di hari raya.

Selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin jika ada salah dan silap saya selama ini.

nOOrsha said...

Asalamualaikum..selamat hari raya aidilfitri buat k ita sekeluarga....dgn kerendahan hati sy hulurkan salam kemaafan atas sgl kesilapan n ketelanjuran tutur kata sepanjang saling mengenali didunia blog selama ni....sesungguhnye sy hy manusia biasa yg banyak khilaf n dosa....smoga ukhwah semakin erat bertaut n jambatan persahabatan semakin kukuh tertaut.... :-)..insyaallah...



Dalam penat2 pun gambar2 akak masih terakam cantik.....kalau akak jalan2 ke KL ke sudi2lah melencong sket ke port dickson...tu pun klo sudi la kan singgah ke teratak buruk sy ni...:-)


Tq kak for everything :-)

nOOrsha said...

Eh..baru perasan..muka akak macam prof dr muhaya la :-)

fabmom said...

Salam. Blog puan sangat menarik dan foto kuih-muih dan kek yang dihasilkan menyuntik inspirasi kepada yang melihat. Mohon izin untuk mengulang salin resipi puan di blog saya.

Kongkang Malaya said...

Salam Kak Ita,

Meriah raya! Baca pasal Kak Ita bertungkus lumus di dapor, saya pulak buleh rasa kepenatannye :D

Selamat hari raya Aidil Fitri buat Kak Ita sekeluarga :)

FloraYIP said...

Hi dearest,
I'm flora from HK.
Although I don't know you,
and I don't understand your language.
I love your blog because I see your afford and your loving pictures.

Support You!

RYOVZHVR said...

salam kak ita..
slmt hr raya..
suka sgt tengok gambar2 kak ita dan keluarga ni.. cantik!
:)

mashitah said...

selamat hari kak ita.........

ibh_sue said...

Asslmkum Kak Ita.
Suka tengok gambo posing2 tu..Cantik :)

aDisH.sHidA said...

salam kak ita....waaaaaaah seronok shda baca kisah raya akak sekeluarga...dengan gambar2 yang menarik...

ثابراني حجازي said...

As salam.. mohon copy resepi2 dalam ni yer kak..

iela said...

eh...saya rasa mcm kenal la yg husband & wife berbaju pink tu.. Dulu diaorg study kat UiTM Shah Alam kan? hehehe..

Post Top Ad

test