Passembur makan jangan tersembur-sembur ya.. - masam manis f

Breaking

Sep 18, 2014

Passembur makan jangan tersembur-sembur ya..








Hari ini ita nak perkenalkan atau kongsikan satu lagi menu atau resepi ini Malaysia kita
Resepi yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum..
Unik kan Malaysia kita ni.. Boleh berkongsi citarasa yang sama.
Jika sebut pesembur pasti semua tahu kan...?




Pasembur atau pasembor adalah salad India Malaysia yang terdiri daripada timun mayang, bawang, daun salad, ubi kentang, tauhu, taugeh, udang kering, ketam goreng berempah, sotong goreng dan sebagainya. Ia dihidangkan  bersama kuah kacang manis berempah. Kuahnya hampir sama seperti kuah gado-gado ataupun kuah sate tapi lebih manis.

Pesembur adalah gelaran yang di berikan di utara Semenanjung Malaysia. Ia biasa di kaitkan dengan Pulau Pinang , di mana pesembur terbaik boleh di dapati di sepanjang Jalan Gurney. Di bahagian lain Malaysia kebiasannya ianya di gelar Rojak Mamak.


Jika di Johor, namanya berubah mengikut bahan yang di makan bersama, walaupun kuahnya lebih kurang sama. Asma Rojak adalah gelaran yang di berikan di Johor Bahru. Bahan yang di makan juga pelbagai, dengan tempe goreng, ketam goreng, cucur yang pelbagai jenis, telur yang telah di rebus kemudian di goreng, sotong dan pelbagai lagi makanan laut. Pendek kata anda boleh pilih apa sahaja untuk di makan bersama kuahnya.

Jika di Muar ia akan di letakkan mee kuning dan di gelar Rojak Mee.  Sama juga seperti di Singapura dan lebih di kenali sebagai Rojak Singapura. Di Kelantan juga ia di panggil rojak dan turut meletakkan mee kuning. Tapi versi kelantan cukup manis dan ita memang angkat tangan.. tak boleh nak makan kerana manis sangat.

Secara tradisi, penjaja rojak Tamil Muslim ini menjual di gerai atau dengan motorsikal sebagai kaunter penyediaan dan menjual rojak mereka. Penjaja bergerak ini kini menggunakan lori kecil.

Pasembor biasanya dimakan di waktu petang atau waktu santai. Ianya sangat mengenyangkan dan boleh menjadi diet makanan sayuran jika tidak dicampur potongan makanan laut.


Hari ini satu lagi ilmu masakan ita perolehi dari Tuan Mamak Haji. Memang dah lama ita nak cari resepi pesembur ni. Sebenarnya kesedapan pesembor ni bergantung pada kuahnya. Jika sedap kuahnya maka sedaplah hidangan pesembur kita.

Tidak salah memilih dan inilah pilihan yang tepat daripada orang yang cukup berpengalaman berniaga makanan sejak berkurun. Kuahnya cukup lemak manisnya memang bila makan menikam kalbu lah.. terus jatuh cinta dan tak payah nak ke utara untuk merasa sepinggan pesembur.. Hebat dan sedap!


PESSEMBUR
Resepi Oleh : Mamak Haji

Pesembur di makan bersama kuah pesembur dan juga bahan-bahan yang lain.
Mula-mula kita sediakan bahan yang perlu di goreng seperti tauhu.
Tahu di goreng kemudian potong dadu.
Anda juga perlu sediakan kentang jika suka. Yang ni ita tak buat sebab semua tak makan. Kalau anda suka ambil beberapa biji kentang bersaiz kecil, kupas kulit dan rebus hingga empuk. Kemudian di celupkan kentang tadi dalam bancuhan tepung beras yang di bancuh bersama air dan sedikit garam, kemudian di goreng.
Anda juga perlu sediakan cucur udang atau cucur sayur. Ita buat cucur sayur. Kalau nak buat cucur udang pun boleh guna resepi yang sama. Jom kita lihat dahulu kaedah penyediaan cucur pessembur.


CUCUR PASSEMBUR
Resepi Oleh : Mamak Haji
Rujukan :Resepi Perniagaan Katering & Restoran

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
3 sudu besar (tbsp) tepung jagung
3 sudu besar (tbsp) kelapa parut kering.
1 sudu kecil (tsp) Yis segera atau  Mauripan 11gm setengah paket.
1/2 sudu kecil baking powder.
1 sudu kecil gula pasir dilarutkan dengan 2 cawan air suam ( pastikan bukan air panas )
3/4 sudu kecil (tsp) garam.

Bahan Lain
Daun kucai di potong 1 inc
taugeh
cili merah di cincang halus
udang basah jika nak buat cucur udang
Jika nak letak udang, udang perlulah di salut dengan tepung jagung terlebih dahulu. Ambil sedikit tepung jagung, bancuh dengan sedikit air, buat macam gum. Kemudian gaulkan dengan udang.


Mula-mula kita larutkan dahulu gula di dalam 2 cawan air suam. Pastikan air suam kuku ya bukan air panas. Kalau air panas  nanti bakteria dalam yis tu mati.
Masukkan yis dan kacau, biarkan ia larut dan aktif dalam 10 minit
Yis akan berbuih

Sementara itu, kita goreng kelapa parut tanpa minyak atau sangai sebentar.
Bahan-bahan tepung kita satukan dengan baking powder dan garam dalam bekas besar


Bila yis dah berbuih, tuangkan dalam tepung
Kacau rata
Tutup bekas dengan tuala bersih dan perap 1 hingga 2 jam.
Jangan lama sangat nanti cucur akan rasa masam


Lepas tepung kita naik, masukkan kelapa kering, cili merah, kucai, taugeh dan udang jika nak cucur udang.
Goreng cucur dengan minyak yang panas, jika minyak tak panas cucur akan serap minyak.
Cara bagaimana nak mendapatkan cucur yang cantik dan cara mengoreng cucur bolehlah baca di blog Tuan Mamak Haji di Sini
Ita goreng macam biasa aje..
Goreng cucur sampai dia kuning keemasan. Menurut Tuan mamak Haji, jika inginkan cucur yang kuning macam mamak Penang tu.. tambahkan pewarna kuning.
Cucur ni dia jenis yang ringan. Bila dah masak dia akan terapung.
Adunan cucur ni agak cair tau! mula ita pun panik jugak bila lihat adunan yang sangat cair, tapi bila dah goreng dia ok! sangat rangup dan sedap!

Sekarang cucur kita dah pun siap! Jom kita intai-intai pula resepi kuah pesembur yang power ni...

KUAH PASSEMBUR
Resepi Oleh : Mamak Haji






1 kg keledek oren ~ di rebus dengan air hingga empuk. Kemudian di lenyek hingga lumat.
Jika tiada keledek oren gantikan keledek putih tapi kena tambahkan pewarna oren dalam kuah nanti.
Air rebusan keledek boleh di gunakan untuk blender kledek jika inginkan keledek yang lebih halus.
Air rebusan keledek juga boleh di gunakan semasa memasak kuah nanti. Tambahkan secubit garam semasa merebus keledek

500gm udang kertas atau udang putih ~  kerana kulitnya lembut, disagai (goreng kering tanpa minyak) sehingga aroma udang kering naik. Ia juga elakan bau hamis udang yang tak menyenangkan. Kemudian udang ini dikisar halus. Jika tiada udang boleh juga guna sotong dengan kaedah yang sama, di sangai. Sebaiknya menggunakan udang kerana lebih sedap. Udang tu tak payah siang, cuci bersih dan terus sangai dengan kulit dan kepala-kepalanya sekali.

125gm kacang tanah ~  Kacang tanah digoreng tanpa minyak ( sangai)  jangan sampai hitam. Kalau tak pandai goreng kering, goreng gunakan sedikit minyak. Kacang bahagi kepada dua bahagian, satu di kisar halus dan satu bahagian tumbuk kasar. Kacang ni kalau ranjin boleh buang kulit, kalau taknak buang pun tak apa.

5 hingga 8 keping biskut marrie ~ rendam dengan sedikit air hingga kembang, kemudian di kisar.

10 ~ 15 tangkai cili kering ~ kalau suka pedas boleh lebihkan. Lada kering ni di goreng dengan sedikit minyak. Boleh guna minyak lebihan goreng kacang tanah. Tapi pastikan goreng bawang merah dan bawang putih dahulu sebab lebihan goreng lada kering minyakknya akan hitam. Lepas goreng lada ini di kisar halus.

15 biji bawang merah ~ belah 4 dan goreng hingga layur kemudian di kisar halus. Boleh juga guna bawang besar dalam 3 biji, hiris dan goreng hingga layur.

3 ulas bawang putih ~ di goreng hingga layur
Bawang putih ni boleh goreng sekali dengan bawang merah. Kemudian kisar halus. Boleh campur cili, bawang merah, bawang putih dan kisar sekali hingga halus.

Bahan Lain

1 buku gula Melaka ~ ita tambah
Garam dan gula secukup rasa
3 sudu besar asam di bancuh dengan air dan ambil jusnya
4 liter air atau secukupnya ~ boleh juga guna air rebusan keledek
Sedikit pewarna oren jika kuah kurang oren warnanya



Masukkan bahan yang di kisar ke dalam periuk atau kuali
Masukkan udang yang di kisar halus
Masukkan air secukupnya dan rebus hingga kuah mendidih
Bila kuah dan mendidih masukkan kacang tanah kisar
Masukkan keledek yang dah di lumatkan
Tambahkan pewarna jika kurang oren warnanya
Masukkan juga air asam jawa
Masukkan juga gula Melaka yang di hiris
Perasakan dengan garam dan juga gula.
Kuah pesembur ni manis, jadi lebihkan gula dan rasakan secukup rasa
Akhir sekali masukkan biskut marrie yang telah di kisar
Biarkan dan renihkan kuah hingga sedikit pekat
Kuah ni kalau dah sejuk dia lagi pekat tau.. jadi kena agak-agak lah kepekatannya.






Kuah pesembur dah pun siap

Pesembur ini di makan bersama

Cucur Pesembur
Tahu yang di goreng dan potong dadu
Kentang ~ direbus kemudian di celupkan di dalam bancuhan tepung beras bersama garam dan sedikit air kemudian di goreng. Potong baji
Sengkuang ~ yang di hiris mancis
Timun ~ di hiris mancis
Daun salat secukupnya
Kuah pesembur


Dah pun siap hidangan kita hari ini..
Apa tunggu lagi..
Ingat! makan pesembur ni jangan bercakap tau! takut tersembur pulak haha...

Emmmmm..... sedapnya...!
Inilah Malaysia kita....






10 comments:

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

setiap kali balik kampung husband, makan pasemboq adalah wajib, hihihi..

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

setiap kali balik kampung husband, makan pasemboq adalah wajib, hihihi..

Gee® said...

Sedapnya.... lapar terus...

Anonymous said...

Assalamualaikum Ita Uj penah cuba resepi yang sama dari mamak haji memang sedap.....

Unknown said...

Dah lama tak makan pasembur penang..

mama eija said...

sedapnya kak ita.... boleh cuba. thanks kak ita ats resepi :)

Hjh Noralenna Abbas said...

Rojak Singapore pun ada juga. Terima kasih atas perkongsian.

Unknown said...

Sedapnya kak itaaaa...
Oo letak ubi keledek..selamani msa mkn dok fikir diorang letak apa ek kuahnya pekat..ingat letak tpng jagung..hihihi..feveret mak saya..stiap kali mkn mesti sembng dgn mak cmna lah diorng wat kuah ni..
Hihihi..lps ni mesti mak plk tnya "camna nurul buat kuah ni"..hihihi.."tgok dlm blok azlita masam manis mak..mcm2 resepi ada.."..terbaikk

Unknown said...

OOoo bestnya..tapi lecehnya..bhn2..banyak sangat.. saya belije la..

La Faim said...

terima kasih sbb maklumat akak membantu saya buat assignment...

Post Top Ad

test