Kuih Nagasari Nangka merupakan kuih yang menjadi kesukaan suami ita. Biasanya kalau musim nangka madu, pasti suami akan meminta ita membuat nagasari nangka. Suami ita memang amat mengemari kuih tradisional ini.
Kuih nagasari merupakan resepi dari emak ita. Biasanya emak akan membuat dalam jumlah yang banyak dan kebiasannya mengunakan sukatan kampit. Emak memang buat banyak kerana kuih ini emak hantar ke warong mak cik ita. Kadang kala ita juga membantu emak menjual kuih yang emak buat.
Ita juga sukakan kuih nagasari kerana kuihnya yang lembut, bau harum nangka yang wangi sangat membuka selera. Kuih ini juga merupakan kuih kesukaan bapa ita. Ita lebih sukakan kuih nagasari nangka berbanding kuih nagasari pisang.
Biasanya emak akan bungkus kuih nagasari di dalam daun pisang. Ita pula membuatnya di dalam acuan.. kerana masalah untuk mendapatkan daun pisang bila tinggal di bandar. Ita kerap membuat kuih ini jika ada kenduri-kendara. Kadang-kala jika ada jamuan atau majlis di rumah jiran-jiran ita juga akan menghantar kuih ini untuk di rasa oleh jiran tetangga.
Seperti biasa bila ita hantar kuih pasti ramai yang akan meminta resepi, ada kalanya sampai datang ke rumah meminta ita tunjukkan bagaimana cara ita menyediakan kuih yang bukan sahaja comel ini malah cukup enak rasanya.
Baru-baru ini, sewaktu ita pulang ke Kota Bahru, dan kebetulan ibu dan bapa mertua ita mengadakan kenduri potong jambul cucu bungsu dalam keluarga kami. Bila ita balik, ibu mertua ita pun apa lagi.. meminta lah ita buatkan beberapa kuih yang beliau teringin nak makan. Ita buatkan kuih nona manis dan juga kuih seri muka untuk ibu mertua ita. Tak sangka kuih ita mendapat sambutan dari kalangan penduduk kampung. Ramai lah yang datang berjumpa ita dan minta ita ajarkan bagaimana caranya ita sediakan kuih tersebut.
Jangan tak tahu.. sempat juga ita buat kelas mengajar jiran-jiran ibu mertua kuih-muih yang ita sediakan. Seronok sangat mereka.. bila dapat resepi dan tahu kaedah membuat kuih tersebut.
Ok hari ini ita tunjukkan pula bagaimana ita menyediakan kuih Nagasari Nangka Pandan. Biasanya nagasari warna putih, tapi kali ini ita buat perasa pandan. Kaedahnya sama cuma tambahkan air pandan sahaja. Jom ita kongsikan kaedahnya.
Resepi Oleh : emak saya
250 gm tepung beras
140 gm tepung ubi ( 1 cawan )
250 gm gula
1 sudu teh garam
2 cawan air pandan
4 cawan santan cair ( 200 ml santan KARA + air jadikan 4 cawan )
sedikit pewarna hijau epal
nangka ~ di dadu kecil
Mula-mula ambil 5 helai daun pandan dan kisar bersama 2 cawan air untuk dapatkan air pandan. Selepas kisar di tapis.
Nangka di potong dadu kecil
Dalam bekas mangkuk, satukan tepung beras, tepung ubi, garam, gula air pandan dan santan cair. Kacau rata.
Jika tepung masih berketul, masukkan dalam blender dan kisar.
Tuangkan dalam periuk.
Tambahkan pewarna jika warnanya kurang menyerlah
Kemudian masak atas dapur dengan api sederhana. Jangan lupa senantiasa di kacau supaya adunan tidak berketul-ketul. Kacau sampai adunan pekat dan kental.
Biarkan ia sejuk supaya mudah di masukkan dalam acuan.
Sementara itu panaskan kukusan
Tutup kukusan di balut dengan kain supaya wap air pada tutup kukusan tidak menitis atas kuih.
Sediakan acuan kuih, oleskan dengan minyak jagung atau minyak makan.
Sudukan adunan kuih dalam acuan 3/4 penuh
Kemudian letakkan nangka yang telah di potong dadu di tengah-tengah, tekan-tekan sedikit.
Kemudian tambahkan lagi adunan dan ratakan permukaan acuan
Susun dalam kukus
Kukus selama 15 minit sehingga bila kita buka tutup kukusan dia macam berbuih naik, maknanya dah masaklah kuih tersebut
Bila dah masak tunggu hingga ia benar-benar sejuk sebeluam di keluarkan dari acuan.
Sedia di hidangkan
5 comments:
Sedapnyaa.... nk ckit
assalam kak ita, kalo guna daun pisang berapa lama masa mengukus nya? Tq
Adoi..tgok pun dh tau sdap..sya xpernh lg mkn kuih ni...klu mkn mesti jd feveret sbb nangka mmg sya suka..:-)
selalu mkan nagasari yang dengan pisang jer....nangka mesti lagi wangi dan manis.
Teringin nak mkn. untung mak mentua tempuas jugak dkt jiran2. Bak kata pepatah benih yg baik campak ke laut jd pulau
Post a Comment