Rojak Asma - masam manis f

Breaking

Jan 5, 2015

Rojak Asma



Assalamualaikum
Apa khabar sahabat-sahabat ita di luar sana hari ini?
Doa dan harapan ita agar semunya berada dalam keadaan sihat.. senantiasa kekal bahagia dan ceria-ceria selalu..

Cuaca di Johor Bahru nampaknya semakin baik. Kalau beberapa hari yang lalu.. sejuk dan dingin dengan angin yang kuat berhembus.. semalam nampaknya sang mentari dah mula mengeluarkan sinarnya.. hangat membara..  Alhamdulillah kering kain di jemuran..

Dah sarapan?
Kita ni sebagai suri rumah.. memang tak ada kerja lain.. kepala ligat nak fikirkan apalah menu yang nak di hidangkan pada keluarga.
Hari ini ita nak bercerita tentang satu lagi menu masakkan yang cukup popular di Johor iaitu Rojak Asma. Ada yang panggil rojak asma dan ada yang panggil asma rojak.. mana-mana pun sama aje.. hihi.


Rojak Asma ni boleh di kategorikan sebagai salad Melayu lah kan.. di makan bersama kuah kacang yang lemak manis sedap dan enakkkk... bangat rasanya..
Kalau anda semua singgah ke Johor jangan lupa untuk pekena Rojak Asma tau! rugi kalau tak cuba..


Rojak asma ni dia lebih kurang macam rojak Singapura, rojak mamak, pesembur di utara, rojak mee di Muar, rojak ayam di Pahang dan rojak di Kelantan. Kuahnya lebih kurang sama cuma cara penyediaannya ada sedikit berbeza.

Kalau rojak ayam di Pahang di makan bersama ayam goreng, rojak Kelantan lebih kurang macam rojak mee di Muar tapi kuahnya lebih manis.. rojak mee cuma ada tambahan mee, taugeh dan sengkuang.. lebih mirip pada pesembur di utara tapi masih lagi ada kelainan.

Berbeza dengan rojak asma, ramuannya macam-macam.. terpulang pada citarasa masing-masing. Kebiasannya mesti ada cucur tepung yang kosong, ada juga cucur udang, mesti ada sayur-sayur seperti salad dan timun. Untuk sedikit rasa pedas di hiriskan sedikit cili hijau. Bahan-bahan yang lain pula kebanyakkannya di goreng, macam telur rebus, kentang, tempe, tauhu, fish ball, fish cake, ada tambahan ketam celup tepung, sotong, udang dan macam-macam lagilah.. terpulang pada anda dan juga mengikut citarasa..


Biasanya kalau anda ke gerai menjual rojak asma, anda di beri peluang untuk pilih sendiri apa yang anda suka nak letak dalam rojak tu nanti. Semua yang anda pilih nanti akan di potong kecil untuk mudah anda nak menikmatinya dan di makan bersama kuah rojak yang pergh.. cukup enak bangat! Kuahnya lah penentu kepada kesedapan rojak asma tersebut. Biasa kuah rojak ni terasa lemak manisnya barulah terlajak laris...

Tak sabar ita nak kongsikan resepi enak dari selatan ni.. Jom ikut ita kita pekena rojak asma pulak!


ROJAK ASMA

Sebelum nak membuat kuah rojak asma ni, kita sediakan dahulu cucur tepungnya dahulu, kerana cucur ni kita kena perap selama 1 jam sebelum kita boleh mengoreng. Sementara tunggu cucur kita di perap bolehlah kita sediakan bahan untuk kuah rojak pula


CUCUR TEPUNG

1 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh kunyit serbuk
1/2 sudu teh gula
150 ml air
1 biji telur


Satukan semua bahan dalam bekas, kecuali air dan telur
Kemudian masukkan air dan kacau hingga rata
Jangan masukkkan telur dahulu ya, kita perap dahulu adunan ni selama 1 jam
Sementara kita tunggu adunan ni di perap, kita sediakan bahan-bahan untuk kuah rojaknya dahulu.




KUAH ROJAK

1/2 cawan kacang tanah ~ di goreng dan kemudian tumbuk, jangan halus sangat dan jangan kasar sangat
3 biji kentang ~ kupas kulit dan potong bulat kemudian di goreng
1 sudu besar bijan putih ~ di sangai ( goreng tanpa minyak)
1 buku gula Melaka
1/2 cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis
air secukupnya

Bahan Kisar
15 ~ 20 tangkai cili kering, rendam lembut dan kisar halus
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
1 inc kunyit hidup
2 inc halia
2 sudu besar udang kering ~ rendam lembut dan kisar



Kentang di kupas kulitnya, hiris bulat-bulat dan kemudian goreng hingga kuning keemasan.
Kemudian di kisar halus. Kentang ni untuk pekatkan kuah, anda boleh gantikan dengan keledek oren yang di rebus , kemudian di lenyek halus atau ada juga yang meletakkan biskut marrie. Kalau guna biskut Marrie, rendam dengan air hingga kembang kemudian kisar halus.
Kacang tanah, goreng, buang kulit dan tumbuk, jangan terlalu halus dan jangan juga terlalu kasar
Bijan putih, di goreng tanpa minyak, jaga-jaga ya sebab bijan cepat hangus.
Lada kering tu ikut kepedasan masing-masing, kalau suka pedas boleh lebihkan.. kalau tak suka pedas kurangkan. Lada ni anda rendan atau rebus hingga lembut kemudian kisar halus.
Bawang, halia, bawang putih dan kunyit di kisar halus.
Ok bahan dah sedia sekarang boleh kita mulakan proses memasak


Dah pun siap kuah rojak kita.
Sekarang kita sediakan bahan sampingan yang di makan bersama.


Timun di belah 2 dan hiris, jangan nipis sangat dan jangan tebal sangat. Dia tebal sikit dari kita hiris untuk nasi lemak tu.. baru lah rasa rangup bila di nikmati nanti
Daun salad, yang ni kita potong atau hiris aje... lebih kurang 1 inc
Lada hijau kita hiris bulat atau serong, terpulang pada cara masing-masing

Sekarang kita sediakan pula bahan-bahan yang kita perlu goreng. Bahan ni terpulang pada citarasa anda. Yang ita sediakan ni apa yang anak-anak ita suka makan aje.. yang lain ikut masing-masing.


4 keping tauhu
2 keping tempe
5 keping jejari ketam
2 keping fish cake
5 keping jejari udang
2 biji kentang , kupas kulit dan belah 4
fish ball jika suka
sotong kembang jika suka ~ kalau letak sotong kembang ni rebus ya sotongnya tu
ketam jika suka ~ kalau  letak ketam celup dahulu dengan tepung beras, macam buat adunan goreng pisang tu kemudian goreng. Boleh juga  celup dengan tepung jagung kemudian goreng
3 biji telur di rebus
Yang penting cucur kita tadi jangan lupa

Sekarang kita panaskan minyak dalam kuali, kerana kita nak goreng semua bahan di atas.

Ok sebelum kita goreng bahan-bahan di atas kita goreng cucur kita tadi dulu.

Cucur yang kita dah perap selama 1 jam tadi, kita masukkan sebiji telur dan kacau rata
Bila minyak dah panas, guna sudu untuk ambil tepung dan masak macam kita buat jempu-jemput. Tapi adunan tepung ni dia cair sikit sebab tu kita guna sudu.
Gorenglah cucur kita ni tadi sampai kuning keemasan. Buat sampai habis semua adunan. Angkat dan ketepikan.
Sekarang kita goreng pula bahan yang lain, macam tauhu, tempe, telur rebus, fish cake, fish ball. jejari ketam, jejari udang, kalau ada ketam celup tepung dan udang goreng sekali.
Kentang yang kita belah 4 tadi goreng sekali.
ok dah siap semua bahan di goreng, bolehlah kita hidangkan bersama kuah rojak kita tadi.
Bahan-bahan yang kita dah goreng tadi kita potong kecil untuk mudah nak makan nanti.


Dah siapkan.. mudah aje kan cara membuatnya..
Apa tunggu lagi.. cepatlah curahkan kuahnya.. tak sabar dah nak menjamu selera..
Makan masa kuahnya masih hangat tau! baru power!


Selamat mencuba dan selamat menjamu selera





7 comments:

Eny Abdullah said...

Hi kak ita, sedap nye rojak Asma ni, macam pasembor di penang juga

Qaseh Abadi said...

klu wat makan ngan cucur udang pn sedap kan kuah ni

Anonymous said...

Assalam kak ita, satu perkongsian yang baik. Saya pernah makan rojak atau pasembor seperti yang orang Penang kata. Memang menarik. Tapi kuah dia pedas sikit lalu bukan taste saya. :)

Please blogwalked webpage saya. TQ :P
http://pearl012.blogspot.com

Aishah Amin said...

Adoi..suka la blog kak azlita ni..gambar je dah buat kenyang hehehhee

Aishah Amin

fazianbatrisyia said...

yummmyy....lama tak dpt mkn rojak

Terowong Informasi said...

Menarik blog ni.. Gambar dah cukup membuatkan saya rasa lapar

Unknown said...

Erm nk buat la..utk juadah jualan bazar hehehehe

Post Top Ad

test