Ayam Masak Lemak Cili Api Dengan Nenas - masam manis f

Breaking

Oct 30, 2015

Ayam Masak Lemak Cili Api Dengan Nenas


Pejam celik..pejam celik dah hari Jumaat. Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar dah pun berada di penghujung tahun. Nampaknya cuaca di Johor ni masih lagi baik.. walaupun sedikit berjerebu. Mungkin di tempat lain dah masuk musim tengkujuh.. hujan , guruh dan angin yang berkunjung tiba setiap kali bermulanya penghujung tahun. Tak lama lagi juga dah bermula cuti sekolah. Mungkin dah ada ibu bapa yang merancang aktiviti untuk anak-anak sepanjang cuti sekolah nanti.

Hari ni ita masak yang ringkas-ringkas aje.. sebab nak kena siapkan kek perkhawinan. Biasalah kan.. bila hujung minggu ita akan sibuk dengan kek tempahan.  Jadi kita masak yang main capak-campak aje lah ya.. dan bahannya pun apa yang ada dalam peti ais aje..




AYAM MASAK LEMAK CILI API DENGAN NENAS
Resepi Oleh : Adnan Ibrahim

2 keping besar ayam ~ potong 3 setiap kepingan
1 biji sederhana nenas ~  buang kulit dan potong sederhana besar
2 keping asam gelugor
3 batang serai, dititik
1 liter santan cair
300 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa


Bahan Kisar

35 biji cili padi
1/2 inci belacan (optional)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci halia


Ayam dicuci bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, serai titik, asam gelugor dan sedikit garam. 
Jerang hingga ayam kecut. 
Masukkan nenas, gaul rata dan masak sekejap.
Tuang santan cair, kacau dan masak perlahan hingga ayam masak. 
Tuang pati santan, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula (sesiapa nak guna serbuk perasa pun ok). 
Masak dengan api perlahan sambil dikacau selalu.
Rasa dan jika ok boleh matikan api.





1 comment:

Unknown said...

sedap yew,xpernah pun masak lemak cili api nie...
esok nak try buat lah,bhn2 plak mudah je :)

Post Top Ad

test