Merecik peluh sejuk di Kellie Castle - masam manis f

Breaking

Aug 23, 2016

Merecik peluh sejuk di Kellie Castle


Kunjungan kami ke Batu Gajah tidak lengkap dan sempurna rasanya jika tidak melawat ke istana agam tinggalan milik Willian Smith. Istana Kellie atau lebih di kenali sebagai Kellie's Castle adalah merupakan tarikan utama apabila anda berkunjung ke Batu Gajah Perak.

Perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Gajah memakan masa 6 jam hingga 7 jam bergantung pada trafik. Sebenarrnya tujuan kami ke sana atas urusan lain.. tapi sempat jugalah mencari tempat yang menarik untuk di lawati. Kata orang sambil menyelam minum air... sebenarnya bumi kita Malaysia yang tercinta ni banyak tinggalan sejarah yang perlu kita terokai dan gali. Ianya harus kita simpan sebagai satu khazanah bangsa untuk tinggalan sejarah yang harus di kenang dan di banggakan oleh anak bangsa dan generasi muda seterusnya.

Sebenarnya tak banyak yang ita tahu tentang tempat yang menarik di negeri Perak. Walaupun sebagaimana yang kita ketahui, Perak adalah negeri yang kaya dengan kesan sejarah dan khazanah bumi batu kapurnya yang melakar sejarah dan tepahat dalam lipatan sejarah awal Tanah Melayu.






Dari lebuh raya, sudah terpampang papan tanda berwarna coklat yang memberikan isyarat  tempat pelancongan yang harus di kunjungi oleh para pelancung. Cuaca Panas terik yang menyambut kedatangan kami di Batu Gajah tidak sedikit pun mematahkan mood kami untuk menyelongkari apakah misteri yang tersingkap di sebalik kemegahan tembok Istana Kellie ini.




Untuk memasuki bangunan misteri ini anda di kenakan bayaran RM 5 untuk pengungung tempatan, RM 3 untuk kanak-kanak. Untuk mengesahkan bahawa anda adalah warga negara, IC hendaklah di sertakan sebagai buki untuk mendapatkan tiket serendah RM 5. Bagi para pelancung luar negara pula bayaran dikenakan RM 8. Bagi mereka yang nak merakamkan gambar perkhawinan dan merakamkan aktiviti paranormal pula, ada rate harga yang di kenakan. Sebenarnya hasil pungutan tikek ini di gunakan untuk penyelengaraan Kellie Castle supaya senantiasa teguh sebagai tarikan utama pelancong yang singgah di Batu Gajah.


Pesanan ita, sebelum anda ke sini, anda haruslah mendapatkan sedikit maklumat tentang kewujudan bangunan agam ini. Bila anda dah dapatkan sedikit info, pasti setiap kali kaki anda melangkah dan berlegar-legar di bangunan ini... ada satu perasaan yang bermain di benak fikiran dan emosi. Perasaan sayu, sedih, bangga, runsing... seakan berkecamuk dan senantiasa membelenggu saat kaki melangkah di setiap anak tangga. Apakah mungkin ita yang terbawa-bawa dengan emosi... atau diri ini yang senantiasa di selubungi misteri..... ??



Tidak jauh dari bandar Ipoh, di kelilinggi ladang kelapa  sawit dan getah yang terbentang luas dan di sempadani tembok batu kapur yang indah, berdiri megahnya sebuah bangunan usang yang di tinggalkan. Bangunan yang telah berabad di tinggalkan ini, menyembunyikan seribu misteri penjajahan era  British di tanah Melayu dan ada yang menyatakan ianya adalah lambang cinta agung ala-ala Raja Moghul, Shah Jahan  yang membina Taj Mahal sebagai lambang cinta abadi kepada isterinya Mumtaz Mahal



Di sebalik bangunan yang tersergam indah, tembok, batu bata dan gerbang dengan ukiran indah.. tersingkap satu cerita tentang impian, inspirasi, kekecewaan seorang lelaki dan kematian yang tidak di jangka. Terhenti dalam ruang dan masa hingga banggunan agam ini gagal di siapkan sepenuhnya sebagaimana yang menjadi impian hingga ianya membelenggu dan di percayai masih menghuni bangunan usang ini dan sering berlegar di koridor istana usang ini.

Sejarah istana agam ini seringkali di salah fahami dan di bayangi khabar angin  tentang misteri penghuninya yang di katakan masih menghuni kediaman ini. Roh penghuninya di katakan sering kali berlegar-legar di ruang koridor, dan di katakan masih menghuni di setiap ruang dan penjuru tembok batu dalam rangkuman yang penuh tandatanya.

Bangunan istana ini di percayai berhantu dan seringkali membelenggu penduduk setempat hingga rata-rata tidak mahu bercerita tentangnya terutamanya bila senja berlabuh. Istana ini di katakan tidak sesuai di kunjungi oleh mereka yang lemah semangat terutamanya pada waktu malam. Suara-suara berbisik, tangisan, helahan nafas , tapak kami melangkah dan meniti anak tangga di katakan seringkali kedengaran bila malam menyingkap.



Tajuddin Yaakob, Pengarah Aqfast Enterprise, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Kellie's Castle turut berkongsi cerita sewaktu di temuramah oleh rancangan dokumentari. Beliau merujuk peristiwa di mana sekumpulan ahli Naturalis Saintifik dari Kanada yang mengadakan kajian tentang haiwan yang keluar pada waktu malam ( terutamanya kelawar ) di kawasan berkenaan. Salah seorang dari anggota wanita pasukan tersebut di katakan terlihat satu susuk lembaga menyerupai bangsa Eropah sedang berdiri dan menjenguk dari salah satu tingkat istana berkenaan. Lembanga tersebut di percayai adalah jelmaan William Kellie Smith.


Gambar dari google
Siapakah William Kellie Smith?

William Smith dilahirkan pada 1 Mac 1870 di Moray Firth, Dellas, sebuah kawasan tanah tinggi di Scotland. Dilahirkan dalam keluarga petani, beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik. Pada 1 Mac 1890 (Utusan Malaysia, 22 Januari 2008), sewaktu berumur 20 tahun, William dikatakan telah merantau ke Malaya untuk menambahbaik taraf kehidupannya,  beliau bermula sebagai jurutera awam dengan mendapat kontrak selama 2 tahun dengan kerajaan kolonial bagi membina laluan keretapi ke sebuah kuari batu yang baru dibina,malangnya projek ini mempunyai masalah lalu beliau terpaksa menghantikannya. William seterusnya membuat usahasama dengan seorang kontraktor, Charles Alma Baker bagi mengusahakan projek membina jalan raya di Perak. 



Usahasama dengan Charles Alma Baker ternyata begitu menjadi, beliau berjaya mendapatkan 200 ekar tanah di Batu Gajah untuk diusahakan. William memilih untuk mengusahakan tanaman kopi mulai tahun 1896, namun ianya tidak bertahan lama kerana pasaran untuk kopi Malaya telah merosot akibat kemunculan kopi dari Brazil yang sangat popular. William kemudiannya telah menggantikan tanaman kopi beliau dengan getah, ianya dianggap tindakan yang bersesuaian pada ketika itu kerana getah sangat diperlukan sebagai bahan mentah dalam pembuatan tayar pneumatik. Industri pembuatan kenderaan yang sedang meningkat naik di eropah menyebabkan permintaan terhadap getah menjadi tinggi dan lumayan. Ladang getah seluas 144 ekar itu diusahakan bersama rakan kongsi beliau, Alma Baker (Berita Harian, 17 September 2008),William Kellie Smiths akhirnya berjaya membeli sebuah ladang di kawasan Batu Gajah, estet berkenaan kemudiannya dinamakan Ladang Kinta Kellas. Selain itu, William Smith turut mengusahakan syarikat perlombongan bijih timah yang dinamakan Kinta Kellas Dredging Company. 



Menurut  (Dr. Ho Tak Ming, 2007 ) , pada tahun 1903, William Smith terpaksa pulang ke Scotland bagi melawat ibu beliau yang sedang nazak, dalam perjalanan pulang inilah beliau bertemu bakal isterinya, Agnes. Setelah kembali semula ke Malaya, William telah menambah nama “Kellie” pada nama beliau, dan mahu dikenali sebagai William Kellie Smith. Nama “Kellie” adalah bersempena nama ibunya selain mengahwini Agnes. Agnes merupakan pewaris kepada perniagaan kapas yang diusahakan oleh keluarga beliau, Agnes dikatakan bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 pound.



Setelah mengahwini Agnes, William membawa isterinya ke rumah ladang miliknya Killas House di Batu Gajah, Perak atau lebih di kenali sebagai Kinta.  Kellas House yang dibina daripada kayu, dan dalam cuaca tropika,  pada ketika suhu panas, suhu dalam rumah turut menjadi tinggi. Suhu yang panas sangat tidak menyenangkan Agnes, beliau tidak sukakan Kellas House dan mengindamkan sebuah rumah yang lebih sesuai. Agnes Seringkali meluahkan rasa tidak selesanya. Pada tahun 1915 selepas kelahiran Anthony putera mereka, William telah merancang untuk membina istana baru buat mereka sekeluarga. Tambahan pula kedudukan kewangan mereka sangat baik waktu itu. Agnes di beritakan akan menerima harta peninggalan keluarganya , peladangan kapas di Eropah dengan jumlah 300 000 pound.  Dengan jumlah yang cukup besar itu sudah mencukupi untuk menyiapkan istana idaman mereka.




Istana ini yang kemudiannya di kenali sebagai Kellie's castle di bina berasaskan senibina Scottish, Moorish dan India. Struktur istana dengan koridor yang panjang membenarkan pengaliran udara yang baik dan amat sesuai dengan cuaca panas pada waktu itu. William telah membawa 70 orang pekerja mahir dari Madras, India untuk merialisasikan impian Agnes. Bahan -bahan binaan juga di import daripada India dan Scotland.



Kebanyakkan bahan binaan hiasan seperti batu marmar adalah  diimport dari India, sementara Jubin yang digunakan diimport dari Itali pada tahun 1904. Batu bata jenis aprikot yang digunakan dibuat di Malaya, begitu juga dengan kayu cengal yang menghiasi  jenang pintu dan tingkap istana berkenaan, kualiti kayu cengal sememangnya diakui serta mampu kekal utuh sehingga 200 tahun lamanya. Oleh kerana pada ketika itu simen tidak ada di Malaya, maka dinding istana tersebut dibina dengan kaedah yang sangat unik, iaitu dengan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Dengan seni binanya yang mempunyai asimilasi konsep Greco – Roman, Moorish dan india, istana ini sememangnya unik, malah binaan yang seumpamanya tidak dapat dilihat dimana-mana di Malaya pada ketika itu. Pembinaan istana ini tidak menggunakan paku, besi atau jentera berat. Seandainya lif di menara Istana Kellie dapat disiapkan, maka bangunan itu akan menjadi bangunan pertama di Malaya yang mempunyai lif.



Dalili berdiri di hadapan lif
Sayangnya perancangan William dan Agnes tidak berjalan lancar. Dugaan akibat serangan Spanish Flu menyebabkan ramai pekerja binaan dan ladang mati. Pekerja William yang menganut agama Hindu mencadangkan pembinaan sebuah kuil hindu untuk meredakan kemarahan dewa yang dikatakan membawa kepada serangan virus tersebut. William bersetuju dengan permintaan pekerjanya dan sebagai tanda penghargaan patung William turut di bina sebaris dengan patung dewa-dewa yang lain pada bangunan kuil tersebut dan kekal hingga kini.



Setahun selepas perancangan pembinaan dibuat, William telah menerima berita yang kurang menyenangkan, pemegang amanah dana milik isterinya telah memaklumkan bahawa dana berjumlah 300,000 pound itu hanya akan dilepaskan dalam tahun 1908. Tambah menyulitkan lagi, firma kewangan dari Singapura yang menyediakan dana pinjaman kepada william turut mengalami nasib malang, mereka terpaksa menghentikan pembiayaan kepada William kerana firma itu sendiri mengalami kegawatan ekonomi kesan prestasi perniagaan mereka yang teruk di Indonesia. 



Untuk keluar dari kemelut kewangan ini, William telah meminta Agnes menulis surat kepada  kerajaan kolonial untuk memohon dana bantuan sebanyak 50,000 pound. Permohonan tersebut diterima, tetapi dengan nilai separuh dari yang dimohon, sebelum dikurangkan lagi, akhirnya nilai akhir yang setuju dipinjamkan oleh kerajaan kolonial kepada Agnes adalah sebanyak 10,000 pound. Karenah pemerintah kolonial yang dikatakan skeptikal terhadap keupayaan Agnes membayar balik pembiayaan yang dimohon telah mencabar William untuk meneruskan juga pembinaan kediaman baru mereka.

Kesempitan kewangan ini menyebabkan William terpaksa menjual 2/3 kawasan ladang milik beliau  bagi tujuan pembayaran balik dana yang dipinjam.




Pada tahun 1926, William serta anaknya Helen telah pergi ke Lisbon, Portugal sebelum meneruskan perjalanan ke England untuk melawat Agnes dan Anthony. Ada juga maklumat yang mengatakan William Kellie pulang ke England untuk membawa balik set lif yang ingin beliau pasang di menara istananya ( NST, 27 Mei 2008). Malangnya sewaktu berada di  Portugal, William telah diserang penyakit radang paru-paru yang kronik, beliau akhirnya meninggal dunia di Lisbon pada 11 Disember 1926 pada usia 56 tahun.

Kematian William pada usia yang agak muda amat memeranjatkan dan mengecewakan Agnes. Di tambah pula dengan kegagalan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Tanah Melayu, Agnes lalu mengambil keputusan untuk terus menetap di Eropah dan enggan kembali ke ladang mereka di daerah Kinta Perak.


Gambaran lakaran Istana ini sekiranya ianya berjaya di siapkan sepenuhnya. Rujukkan Sini
Agnes telah menjual saki baki ladang getah milik Wiliam beserta dengan Kellie' s Castle kepada firma perladangan milik British iaitu Harrisons Abd Crosfield. Syarikat itu pula tidak nampak keperluan untuk menyiapkan Kellie's Castle. Oleh yang demikian pembinaannya telah terbengkalai dari tahun 1926 hingga kini.



Sewaktu kaki ini melangkah masuk ke istana agam ini, ita sudah terbayangkan betapa indahnya istana ini jika ianya sempat di siapkan. Ita memang cukup mengemari dan meminati struktur binaan lama yang ita rasakan sangat unik dan mempunyai ciri-ciri campuran pelbagai negara dengan agama yang berbeza.

Dinding bangunan ini cukup tebal dan ketegapannya saling tak tumpah bangunan kolonial tinggalan British yang pernah ita lawati di Johor Bahru. Di Johor Bahru memang terdapat banyak rumah tinggalan British yang masih berdiri teguh dan ada yang telah di robohkan akibat arus pembangunan. 

Pada hemat ita rumah ini sudah hampir siap sepenuhnya kecuali bahagian belakang ( bahagian menara yang kita lihat berdiri megah sekarang ini ) bahagian pintu masuk yang kita lalui untuk masuk ke Istana ini adalah bahagian belakang yang masih dalam pembinaan sebelum terbengkalai akibat kematian William.




Banggunan kuning ini pada hemat ita adalah bahagian hadapan. Bangunan ini rasanya sudah siap sepenuhnya. Tapi ianya runtuh sewaktu Jepun menyerang Tanah Melayu. Binaan ini telah di bom oleh tentera Jepun yang mengakibatkan ianya musnah dan hanya tinggal beberapa dinding bangunan yang di beri sokongan agar tidak turut sama menyembah bumi dan melenyapkan terus khazanah yang bernilai ini.




Warna kuning pada bangunan ini di katakan bukanlah di cat, sebaliknya ianya adalah campuran simen yang yang dikatakan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah, madu dan warna kuning yang masih tidak dapat di pastikan di gunakan dari bahan apa.



Binaan tingkap istana ini cukup unik kerana di bahagian luar terlihat lain dan di bahagian dalam pula di berikan sentuhan yang berlainan pula.

Istana ini bukanlah rekaan yang biasa. ia adalah sebuah rumah manor yang besar. Ia di lengkapi laman yang luas dan laluan rahsia. Ia juga di bina dengan batu bata yang padu. Gabungan gayanya sangat unik, kreatif dan inovasi yang sangat mengagumkan.



Dindingnya yang tebal dapat melindungi rumah ini daripada kepanasan cuaca tropika. Bagi mengurangkan haba William telah membina lalauan berbentuk branda. Ianya adalah penting untuk kebajikan isteri dan anak-anaknya.

Gaya senibina bangunan ini juga di garap daripada gaya seni bina yang berbeza-beza. Puncak dindingnya pula terdapat lengkungan gaya ghotik yang tajam di sebelah dalam manakala di bahagian luarnya pula di pasangkan pula lengkungan tajam gaya Monghul. Ini jelas membuktikan ia mempersembahkan dua gaya seni bina yang berbeza dalam rekaan binaan bangunan ini.


Tingkap yang berbentuk tangga pula adalah gaya seni hias yang popular yang telah sampai ke Tanah Melayu pada tahun 1930 an. Ini bermakna William telah mendapatkan idea ini lebih awal 20 tahun sebelum ianya popular. Di bahagian atas pula terdapat pintu berbentuk segi empat yang mengelilingi taman dan menghubungkan laluan ke Istana Kellie . Tapi sayangnya laluan bangunan itu telah pun musnah. 




Melangkah kaki ke Istana ini, kita akan temui bilik simpanan arak yang berada di tingkat bawah. Bilik ini sangat gelap dan ita tidak dapat merakamkan gambar kerana tak bawa flash. Di katakan dalam bilik ini boleh di muatkan 3000 botol arak. Di bahagian bawah lorong ini pula dikatakan terdapat laluan rahsia yang dikatakan dapat tembus ke kuil Hindu yang 500 ela jauhnya.



Di dalam bangunan ini terdapat banyak laluan bertangga. Apa yang mengelirukan ita dan membuatkan ita tertanya-tanya adalah, keluasan tangga itu yang cukup sempit. Ita tidak dapat bayangkan bagaimana bentuk tubuh badan bangsa Eropah yang besar dan sasa dapat melalui ruang tangga yang sempit.





Di bahagian bawah bangunan ini terdapat ruang tamu atau ruangan keluarga. Di sini terhimpun perabut antik lama yang di susun dan di jaga rapi. Namun tidak dapat di pastikan adakah ianya kepunyaan keluarga William atau di letakkan di situ hanya sebagai gambaran kehidupan keluarga bangsa Europah ini.


Rumah ni berlorong-lorong dan banyak sangat laluan rentas dan laluan rahsia. Kalau datang malam memang menyeramkan.  Sebenarnya semakin lama berjalan dalam rumah ini, ita sudah dapatkan aura seram. Bulu tengkuk sudah mula berdiri bila kaki ini melangkah ke bilik Hellen dan Agnes. Peluh dingin sudah mula merecik menambahkan lagi degup jantung yang semakin berdegup kencang.



Sebenarnya bukan di rumah agam ini sahaja ita dapat rasakan aura yang berbeza, sewaktu ita mengetuk papan kekunci untuk memuatkan entry ita kali ini juga sesekali bulu roma berdiri tegak. 

Bukan itu sahaja, ita mengambil masa yang agak lama untuk mengedit gambar yang ita rakamkan kerana komputer seringkali buat masalah. Gambar tidak boleh di resize membuatkan proses mengedit tergangu dan tidak berjalan lancar seakan ia juga mengambar betapa payahnya dan sukarnya untuk merilasasikan impian membangunkan istama Kellie ini. 

Ita hampir berputus asa dan membuatkan malas nak menyambung proses menyiapkan entry ini. Namun ita gagahkan juga agar ianya dapat di kongsi dengan rakan yang lain. 




Bilik tidur utama.
Dindingnya dihiasi fris neo klasikal yang halus dan elegan yang di reka untuk menjadi latar belakang hasil seni. Ia juga mempunyai sebuah tangga yang membawa kepada laluan bawah dan ke luar rumah agam.







Ironinya , apabila rumah agam besar berserta biliknya yang banyak ini di bina, ia besar kemungkinan terbiar kosong. Agnes dan Anthony berada di Britain bagi pembelajaran Anthony. Apabila Hellen pulang ke Britain, William menetap di Malaya seorang diri. Dia juga sering ke Belanda Timur di mana dia telah berjaya memperolehi konsesi perladangan yang besar. Agnes pula tidak pernah pulang ke Malay. Dia telah menetap di England di sebuah apartment berdekatan.




Tangga spiral ini menuju ke sebuah bilik rahsia yang merupakan tempat persembunyian isteri dan anak-anaknya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Bilik bawah tanah ini juga mungkin merupakan bilik gelap yang di gunakan bagi tujuan fotography sebagaimana yang di nyatakan dalam sebuah iklan yang bertarikh 7 Oktober 1927 apabila rumah Kellas House termasuklah rumah agam yang belum siap di bina ini di tawarkan untuk jualan setelah William meninggal dunia.





Bilik ini asalnya bilik Hellen. Plaster siling biru bilik ini selesai di buat pada tahun 1910. Para pengunjung pernah melaporkan terlihat roh Hellen di bilik ini. Dia akan muncul di pintu beberapa saat sebelum menghilangkan diri. Di di gambarkan sebagai seorang kanak-kanak berambut kerinting dan memakai blous putih. Ia menimbulkan satu persoalan kerana Hellen telah meninggalkan Malaya dengan bapanya pada tahun 1926 dan tidak pernah kembali ke Malaya selepas itu. Dia di percayai telah menetap di Kanada atau England untuk membina keluarganya sendiri.



Terdapat sebuah lagi bilik untuk anak lelakinya Anthony. Dia di lahirkan pada tahun 1915 selepas 11 tahun kelahiran kakaknya. Bilik ini bersambung dengan bilik kakaknya menerusi bilik mandi. 

Anthony telah pulang ke Britain bersama ibunya untuk meneruskan pembelajaran. Dia merupakan seorang juruterbang dan telah meninggal dunia dalam perang dunia ke dua. Dia meninggalkan seorang anak lelaki.





Di istana ini juga terdapat sebuah bilik di khaskan khusus untuk linen. Terdapat rak untuk menyimpan pakaian atau kain seperti cadar atau apa-apa linen. kalau sekarang ianya mungkin di kenali sebagai bilik laundry.



Menaranya pula 4 tingkat dan di gunakan sebagai tempat meletakkan lif, ruang tangga, dan bilik yang tidak pasti, mungkin ruang bacaan, ruang pejabat atau ruang keluarga.









Ini pula adalah bahagian bumbung bangunan. Terdapat menara-menara yang belum siap sepenuhnya. Cuaca yang panas terik membuatkan kami tidak lama di sini. Mujur anak dara ni mood dia agak baik pada hari tu.. biasa payah nak ajak bergambar anak dara ita ni.

Bagi anda yang membawa anak kecil, sebaiknya elakkan menaiki kawasan ini kerana tiada ciri-ciri keselamatan. Kawasan tebing menara yang landai dan mudah tergelincir jika malang tak berbau.






Pada ita, bangunan istana ini memang sangat cantik. Jika bangunannya tidak runtuh pasti lebih cantik lagi. Bagi anda yang nak merakamkan gambar kenangan untuk perkhawinan memang angel dan sudut yang menarik amat sesuai sekali.



Di pintu masuk terdapat cafe untuk anda menghilangkan dahaga atau mengalas perut.
bagi anda yang tidak pernah mengunjungi Kelly's Castle ni.. boleh lah singah dan bawa anak-anak jalan-jalan untuk merasai keindahan senibina bangunan agam tinggalan British.





10 comments:

Unknown said...

Alamak..mlm² tak bole tidur,jalan² ke blog akak ni ttiba rasa seram pulak..tapi bsungguh baca gak sampai abis..

embunsuchi said...

Terima kasih kak ita sudi berkongsi kisah ini.
bercampur baur perasaan saya bila baca entry ni.
bertambah teruja bila tau ada misteri2 dan laluan rahsia tu.
terajin pulak nak google lagi pasal kellies castle ni.

Izwa Kamaruddin said...

wahhhhhhhhh banyak nyer info! ini pertama kali saya baca info penuh pasal Kellie Castle nie..saya nak baca semula perlahan-lahan. Nak hadam dan saya suka sangat semua gambar yang ada. Menarik!

Unknown said...

pernah pergi ke sini...ada mini taman kalau tak silap dibahagian bawah

farae al-farafisya said...

Terima kasih atas perkongsian gambar dan cerita yang teliti kak ita..sy pernah sampai sini tahun lepas tp tak masuk sebab panas sgt waktu tu..sampai skrg terasa mcm tak lengkap dan harus ke sana lagi dan masuk ke dalam bangunan..walaupun tak masuk dan hanya baca maklumat yg ada di kawasan pintu masa, tapi rasa terkilan tu tetap ada dan pelbagai persoalan muncul..pd sy, kisah kellie's castle ni adalah satu kisah di sebalik kisah yang perlu dirungkai..

~jeet~ said...

Thanks kak ita sebab berkongsi kisah Kellies Castle. Tak sempat lagi nak jalan-jalan ke Perak, menarik ni..

5rose said...

Saya dulu belajar di UTP, Tronoh. Setiap kali pulang dari kampung akan melalui jalan ni. 5 tahun belajar di sana tak pernah pon berkeinginan melawat istana ni. Tertarik dgn olahan senibina yg Kak Ita ceritakan, rasa rugi pulak tak ke sana dulu.

Unknown said...

Saya pernah melawat Castle ni lebih dari 20 tahun yang lalu. Yg ada sekarang ni dah elok sangat-sangat berbanding dahulu. Kerusi meja tu tiada masa saya pergi dahulu. Memang meremang bila pergi ke sini. Dulu tiada bayaran yang dikenakan..secara ringkasnya, keadaan Kellie's Castle yg ada sekarang tidak serupa dengan apa saya lihat lebih dari 20 tahun yang lalu..

hamba allah said...

mmg cantik bangunan dia.. baru jer pergi.

bangunan ni bagaikan sama dengan cerita cinta Shah Jahan & Mumtaz dalam pembinaan Taj Mahal

norad's said...

Bangunan yang amat indah..Saya pernah ke sini dahulu, tapi bila mengetahui kisah hidup Willian Smith dan keluarganya, rasa teruja untuk melawat semula ke sini. Namun terasa syahdu dan sedih memikirkan William Smith yang tidak dapat menyiapkan istana beliau dan kagum dengan semangat juang beliau hingga ke akhir hayatnya. Semoga beliau diampunkan dosa oleh sang pencipta dan bersemadi dengan tenang di sana.

Post Top Ad

test