Juadah buka puasa 5 Ramadhan 2017 - masam manis f

Breaking

Jun 1, 2017

Juadah buka puasa 5 Ramadhan 2017





Juadah buka puasa semalam ita cukup simple, ita buat soto ayam  dan air nenas kesukaan suami. Sebenarnya ita tak sempat nak sediakan juadah buka, balik dari salon dan pukul 6, adoii...  masak apa yang ada dalam peti ais aje.. kebetulan ada ayam, apalagi buat menu yang paling mudah, maka terhasillah juadah buka puasa soto semalam.

Balik terus rebus nasi himpit dulu, ita guna yang segera aje NONA brand lain ita tak berapa suka, sebab kadang nasinya berderai. Lepas tu terus bland bahan dan tumis, masuk ayam godek.. godek Alhamdulillah tepat pukul 7 siap dah soto ita.. haa... ekspress betulll... ^o^



Untuk air nenas pula, suami ita memang ada beli nenas 2 biji, ita pun buat air lah sebijik.. tinggal lagi sebijik emmmm... nak masak apa pulak dengan nenas yang sebijik ni.. ?

Ok lah ita tak boleh sembang banyak bulan puasa ni.. sebab banyak sangat kerja ita yang menanti.. hihi nanti lepas raya dah free boleh sembang lama-lama ya.. Jom kita intai resepi ringkas ni..




SOTO AYAM

Bahan Kisar

5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inc halia
1 inc kunyit hidup
3 batang serai ~ di titik. ( ita guna 2 batang sahaja sebab ita kisar semua sekali )
1 inc lengkuas ~ yang ni ita tambah

Bahan-bahan ini semuanya di kisar halus. Untuk serai tu terpulang kalau nak kisar sekali boleh nak titik aje pun boleh. Kalau kisar ambil bahagian perdu serai yang putih sahaja. Kalau nak kisar sekali serai tu, guna 2 batang sahaja pun cukup.

Bahan Tumis dan Rempah

1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 sudu besar serbuk lada sulah atau lada putih ~ yang ni ita letak 1 sudu besar sahaja
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
4 biji pelaga

Kak Ina menggunakan serbuk jintan manis dan jintan putih. Anda pun boleh juga guna serbuk jintan manis dan jintan putih.
Ita menggunakan jintan manis dan jintan putih biji. Oleh kerana itu ita goreng tanpa minyak atau sangai dahulu hingga harum
Kemudian kisar halus

Bahan lain

1 ekor ayam ~ potong 4 ( ita potong kecil-kecil)
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
2 kiub ayam ~ yang ni ita tambah
2 sudu besar santan ~ yang ni ita tambah 

Mula-mula kita panaskan minyak
Kemudian tumiskan bahan tumis, kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan biji pelaga, tumis hingga harum
Kemudian masukkan bahan yang di kisar halus
Masukkan juga jintan putih dan jintan manis serta lada sulah.
Masak hingga garing dan terbit minyak
Kemudian masukkan air secukupnya
Biarkan air mendidih
Bila dah didih, masukkan ayam dan kiub ayam
Biarkan kuah merenih
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Akhir sekali masukkan sedikit santan jika suka
Kacau dan biarkan kuah didih sekali lagi.

Keluarkan ayam dan toskan
Larikan sedikit ayam untuk di buat begedil ayam nanti 
Panaskan minyak dan goreng ayam hingga keemasan
Kemudian boleh lah di siat halus. 





SAMBAL KICAP

15 tangkai cili padi
6 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap manis
secubit garam
2 biji limau kasturi

Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan cili padi hingga layur
Masukkan dalam blender bersama kicap manis dan garam
Kisar halus
Tuangkan dalam bekas dan perahkan jus limau kasturi


AIR NENAS
Resepi Oleh : Adnan Ibrahim

BAHAN-BAHANNYA 

2 cawan isi nenas madu, didadu (jangan kecil sangat, dadu pada saiz sederhana)
1 helai daun pandan, disimpul
1 cawan gula pasir
1 1/2 cawan air
Beberapa titik pewarna kuning telur ( ita tak letak )
1 tin kecil buah peach, tos dan asingkan sirapnya ( ita tak letak )
Air secukupnya
Ais kiub secukupnya

CARA MEMBUATNYA 
  1. Satukan nenas, gula, daun pandan dan air, kacau rata dan masak hingga mendidih. Kecilkan api dan biar mendidih perlahan. Tambah pewarna kuning telur, kacau rata dan masak sekejap lagi. Matikan api. Biar sejuk.
  2. Peach dalam tin didadu sama saiz dengan nenas. Masukkan ke dalam jug. Tuang no. 1 ke dalam juga, masukkan juga sirap dalam tin buah peach tadi, kacau rata dan tuang air secukupnya. Masukkan ais kiub dan biar sejuk. Hidangkan untuk berbuka puasa...Daun pandan kasi angkat keluar ok...Selamat mencuba!.

No comments:

Post Top Ad

test