Ziarah Madinah - masam manis f

Breaking

Jun 20, 2012

Ziarah Madinah

Ziarah ita di Madinah, bersama para jemaah berterusan. Para jemaah di bawa melawat ke beberapa tempat  bersejarah di Kota Madinah.

Adab Ziarah

Sepanjang perjalanan menuju ke Madinah, hendaklah banyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W dengan khusyuk. Jauhkan daripada perkataan yang sia-sia dan tidak dingini. Kita disunatkan bertalbiah dan memperbanyakkan zikir.
Sebenarnya, tidak banyak gambar yang dapat ita rakamkan. Pertamanya ita amat menghormati tempat-tempat suci, kita juga tidak dibenarkan membawa kamera di dalam masjid dan dilarang mengambil gambar serta melakukan perkara yang sia-sia ketika berada di tanah haram.  Kadang kala ita tidak teringat langsung untuk mengambil gambar kerana terlalu asyik menghayati keindahan Kota Madinah dan menyoroti kembali Syirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Subahannallah... bertapa besar keagungan mu Ya Allah, dan besar sungguh pengorbanan kekasihMu...

Dari Umar bin al-Khattab berkata: Ketika harga barangan naik melonjak Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam bersabda:

 “Bersabarlah wahai penduduk Madinah dan bergembiralah, kerana sesungguhnya aku telah meminta keberkatan untuk sha’ dan mud  kalian, makanlah berjema’ah dan jangan berpisah-pisah, kerana makanan satu orang cukup untuk dua orang, dan makanan dua orang cukup untuk empat orang, dan makanan empat orang cukup untuk lima atau enam orang, sungguh keberkatan itu berada dalam berjema’ah.”
-Riwayat Imam Muslim


Pada kebiasannya para jemaah akan dibawa melawat beberapa tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti, Masjid Quba, Bukit Uhud yang terdapat kubur para syuhadah, Masjid 2 kiblat. Masjid Tujuh iaitu tapak perkemahan tentera Islam semasa Perang Khandak dan juga pasar Tamar.
Para jemaah dinasihatkan berwuduk di bilik penginapan terlebih dahulu sebelum berziarah ke masjid Quba.

Sabda Nabi S.A.W
" Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah"

Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi S.A.W bersabda:
"Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah" 

Masjid Quba ~ gambar dari google

Masjid Quba

Masjid Quba ialah masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid ini terletak di perkampungan Bani Amru Ibnu Auf kira-kira 3 kilometer ke selatan Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebelum Baginda tiba di Madinah, ketika Hijrah dari Mekah bersama sahabat baginda Saidina Abu Bakar. Masjid itu dibina diatas sebidang tanah tempat pengeringan tamar milik Kulthum Ibnu Hadam.
Nama Quba diambil nama dari sebuah telaga yang berada ditempat itu. Masjid ini berbentuk empat persegi dan luas kawasannya kira-kira 5035 meter persegi.


Masjid Quba kemudian disiapkan oleh Sahabat Rasulullah S.A.W . Rasulullah S.A.W menghabiskan masa selama 20 malam (selepas hijrah) di samping bersembahyang dan beribadah kepada Allah S.W.T
Rumah Saidina Ali terletak di belakang Masjid Quba, dan Nabi Muhammad s.A.W akan mendirikan solat sunat sementera menunggu Saidina Ali.

Allah S.W.T  berfirman di dalam Al-Quran:
" Masjid ini didirikan diatas asas ketakwaan dan digalakkan sangat kamu bersolat di dalamnya"
~ Surah Al-Taubah, ayat 108


Jabal Uhud ~ Bukit Uhud

Memandang dari kejauhan, hati sudah terasa sayu. Terkenang akan cerita Ustazah sewaktu di sekolah, tentang gugurnya para syuhadah ketika pertempuran antara orang Islam dengan orang-orang Musyrikin yang berlaku pada bulan Shawal tahun ke tiga Hijrah.

Bukit ini adalah salah sebuah bukit terbesar dan terpanjang di Madinah. Berwarna kemerah-merahan,  letaknya di bahagian utara Madinah iaitu kira-kira 5km dari Masjid Nabawi. Di sinilah berlakunya pertempuran sengit  lagi dasyat, antara tentera Islam dan orang Musyrikin dari Mekah.

Setelah kekalahan musyrikin Mekah dalam Perang Badar, mereka merancang untuk membalas dendam dalam pertempuran berikutnya. Mereka menyediakan bala tentera yang besar. 3000 tentera, 3000 ekor unta, 200 ekor kuda dan 700 perisai pertahanan.
Pada asalnya, pasukan ketenteraan Islam bermula dengan 1000 tentera, 2 ekor unta dan 100 perisai pertahanan. Namun kemudiannya berkurangan kepada 700 orang sahaja apabila 300 orang yang terdiri daripada Yahudi dan munafik yang menjadi musuh dalam selimut menarik diri daripada kumpulan Islam.
Tentera Islam berkhemah di antara dua bukit. Bukit Uhud di belakang mereka, Bukit Rumah di sebelah kiri sementara Kota Madinah di hadapan mereka.
Rasullullah SAW keluar dari Kota Madinah selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi. 

Ketika perang berkecamuk itulah, sahabat Rasulullah SAW merapatkan barisan, membentengi Rasulullah SAW. Saidina Hamzah pula telah dilembing oleh tentera musuh.
Abdullah Ibn Zubair telah dibunuh di atas bukit Rumah, mempertahankan amanat baginda. Pada ketika itulah Mus'ab bin Umair mempertahankan Rasulullah SAW. Tangan kanannya terputus akibat ditetak oleh musuh. Beliau menggunakan tangan kirinya untuk melawan. Terputus tangan kirinya, beliau menggunakan kedua-dua lengannya untuk memegang panji-panji Islam.

Takala Rasulullah SAW terperosok akibat tentangan musuh dan hampir-hampir dipenggal oleh tentera Musyrikin. Mus'ab membantingkan badannya untuk melindungi Rasulullah SAW daripada dibunuh. Maka terbunuhlah Mus'ab Ibn Umair, syahid mempertahankan nyawa Rasulullah SAW. lalu panji-panji itu disambut oleh Ali Karamallahhuwajhah.

Para sahabat, membawa Rasulullah SAW berundur ke belakang, lalu terus menaiki Bukit Uhud. Bukit Uhud bergoyang kerana malu tubuhnya dinaiki makhluk yang paling mulia. bersabda lah Rasulullah kepada Uhud:
"Isbat ya Uhud ~ tetaplah engkau wahai Uhud. Bukankah makhluk yang paling mulia berada diatas mu, bersama shahidain ( dua sahabat yang akan syahid iaitu Umar dan Uthman)"

Dalam peperangan ini, orang Islam hampir-hampir mengalamai kekalahan dan ramai yang terkorban termasuk bapa saudara Rasulullah SAW, Saidina Hamzah. Rasulullah SAW sendiri telah mengalami kecederaan. Dengan pertolongan Allah SWT dan pimpinan yang kuat daripada Rasulullah SAW, akhirnya tentera Islam mencapai kejayaan. Peperangan ini memberikan pengajaran kepada tentera Islam dan orang-orang Islam amnya tentang perlunya displin yang tinggi dan ketaatan kepada ketua dan pemimpin.

Terdapat satu bulatan besar dibina di sekeliling perkuburan Syuhada Uhud. Dibelakangnya terletak bukit yang kemerah-merahan dikenali sebagai Jabal Uhud, manakala dalam bulatan besar itu terletak perkuburan para Syuhada, bukit Rumah iaitu bukit yang di tempatkan 50 pemanah dan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Uhud.


Jabal Rumah ~ Bukit Pemanah 

Sebelum bermulanya pertempuran, Rasulullah SAW mengarahkan supaya 50 orang pemanah mengambil tempat di puncak bukit ini untuk melindungi bahagian belakang tentera Islam. Abdullah bin Jubair  al-Ansori dilantik sebagai ketua.

Rasulullah SAW mengeluarkan arahan : 
“Jika kamu melihat kami beroleh kemenangan jangan kamu sekali-kali turun kepada kami. Jika kamu melihat kami dibunuh sekalipun, jangan cuba turun untuk menolong kami. Jangan tinggalkan tempat kamu itu sekalipun kamu melihat tentera Islam dipatuk oleh burung-burung”.

Baginda juga mengarahkan mereka supaya memanah ke arah pasukan tentera berkuda Musyrikin bagi menyekat kemaraan mereka.


Makam Syuhadah Uhud

Dikawasan Masjid Uhud itulah Saidina Hamzah terbunuh dan gugur syahid. Beliau dikebumikan ditempat jasadnya terbunuh. Selain Saidina Hamzah dua Kibarul Muslimin antaranya Abdullah ibn Jubair Al-Ansari (ketua bahagian pemanah) dan Mus'ab ibn Umair (pemegang panji-panji Islam) 

Hampir 70 orang sahabat terbunuh, enam dikalangan mereka daripada puak Muhaijirin dan bakinya dari golongan Al-Ansar.

Masjid Al-Qiblatain ~ gambar dari google
Masjid Al-Qiblatain ~ Masjid Dua Kiblat 

Masjid ini merupakan tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah terletak di barat laut Madinah. Masjid ini diberi nama Qiblatain sempena peristiwa turunnya wahyu daripada Allah SWT agar Rasulullah SAW menukarkan kiblatnya dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram.

Semasa Rasulullah SAW mula tiba di Madinah, kiblat orang-orang Islam ialah ke arah Baitulmaqdis iaitu menyerupai kiblat orang-orang Yahudi. Mereka mengejek Rasulullah SAW dan umat Islam dengan menyatakan Rasulullah SAW mengeji orang Yahudi, tetapi bersolat mengikut kiblat orang Yahudi.
Rasulullah SAW kurang senang dengan ejekan itu dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT, semoga kiblat ditukarkan ke Baitullah di Mekah. Kira-kira 17 bulan selepas Hijrah, turunlah ayat 144 surah Al-Baqarah yang memerintahkan supaya kiblat ditukarkan ke Kaabah. Peristiwa turunnya wahyu Allah SAW ketika baginda sedang bersolat Zuhur pada rakaat yang kedua. 
Firman Allah :
"Maka sesungguhnya kami memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram... "

Rasulullah SAW segera mengubah arah kiblat dengan berpusing ke belakang 180 darjah iaitu mengadap ke Baitullah, diikuti oleh para sahabat untuk menyempurnakan 2 rakaat lagi.

Lantaran itu, pada waktu Asar semasa di Masjid Nabawi, Rasulullah SAW membetulkan kiblatnya setentang dengan Masjidil Haram.

Pasar Tamar

Pasti ziarah ke Madinah tidak akan lengkap jika tidak melawati ladang tamar atau kurma. Dari Malaysia lagi pasti para jemaah sudah berkira-kira untuk membeli kurma untuk dijadikan buah tangan untuk sanak saudara di Malaysia.

Bas yang membawa para jemaah bertolak ke lokasi yang dicadangkan. Dari jauh kami sudah terpandang akan deretan pohon kurma yang seakan melambai menyambut kedatangan para jemaah. Apabila bas berhenti, para jemaah seakan tidak sabar-sabar lagi untuk mengintai di dalam kilang bagi melempiaskan hajat.

Terdapat pelbagai jenis kurma yang dijual, tapi sudah semestinya Kurma Ajwah menjadi tambatan hati. Para jemaah dibenarkan makan seberapa banyak yang mereka suka, semuanya dikira Halal. Tapi jangan pula dimasukkan kedalam beg plastik kerana ianya akan ditimbang dan dikira.

Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang makan tujuh biji tamar ajwah pada waktu pagi, nescaya dia tidak dapat dimudharatkan oleh racun dan sihir pada hari itu”(HR al-Bukhari)


Di ceritakan Pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang berpuasa dan apabila tiba waktu untuk berbuka puasa satu makanan pun tidak ada untuk di makan oleh baginda.

Malaikat Jibril yang melihat keadaan Rasulullah S.A.W sedemikian merasa sedih lalu ia memohon kepada Allah S.W.T supaya mengurniakan sesuatu makanan untuk rasul kesayangan-Nya berbuka puasa, lalu Allah S.W.T yang sememangnya Maha Mengetahui segalanya memperkenankan permintaan malaikat Jibril tersebut dan diberikanlah buah kurma yang istimewa ini untuk Rasulullah S.A.W berbuka puasa.

Setelah selesai iftar, biji buah kurma tersebut kemudian ditanam oleh Rasulullah S.A.W. Bermula dari peristiwa itulah seterusnya pokok kurma Ajwah ni membesar di kawasan Madinah. Dan di maklumkan juga kurma Ajwah tidak akan hidup dan berbuah di mana-mana tempat selain Madinah..

Kelebihan Kota Madinah 

Terdapat banyak kelebihan Kota Madinah, antaranya :

  • Madinah adalah Ibu Kota Islam ynag pertama. Disinilah tersebarnya Islam ke seluruh pelusuk dunia.
  • Ia adalah tempat turunnya wahyu-wahyu Allah SWT ke atas nabi SAW sebagai panduan dan pedoman untuk umat manusia.
  • Padanya terdapat bahagian-bahagian Syurga. Misalnya Raudah adalah satu kebun  daripada kebun Syurga. Mimbar Nabi SAW akan diletakkan diatas terusan-terusan Syurga. Bukit Uhud adalah salah satu daripada bukit-bukit syurga. Tamar Ajwah adalah tamar dari Syurga.
  • Madinah adalah tanah Haram seperti Mekah. Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah berdoa yang bermaksud : " Ya Allah, Tanamkan kecintaan kami terhadap Madinah seperti mana kecintaan kami terhadap Makkah atau lebih daripada itu"
  • Kota Madinah dan Makkah akan terpelihara daripada Dajal
  • Alat pertimbangan, sukatan dan buah-buahannya diberkati
  • Penduduknya dijamin akan mendapat syafaat Nabi SAW
  • Ia adalah negeri yang terakhir binasa bila tiba hari Kiamat
  • Bersolat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat pada masjid lain kecuali Masjidil Haram.


Setelah 3 hari 2 malam berada di bumi Madinah, maka tibalah masanya untuk kami para jemaah meneruskan perjalanan ke Baitullah.
Sebelum melangkah pergi kami di sunatkan melalukan ziarah selamat tinggal buat Rasulullah SAW dan sahabat baginda.
Pada tika dan saat itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa sayu dan pilunya hati kami untuk meninggalkan bumi Madinah yang penuh kerberkatan. Air mata meluncur laju hingga tidak dapat tertahan-tahan..

" Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagiku kepadanya ziarah untuk ke sekiankalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan.
Jika aku mampu, Insyaallah aku akan datang. Jika aku mati, kutitipkan pada sisiMu syahadah, pada hari itu untuk hari kiamat. 
Dengan ini aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambanNya lagi utusan Nya.
maha suci tuhan yang Mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. salam untuk sekalian utusan ( rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah. Tuhan bagi sekalain alam"

Sepanjang perjalanan para jemaah berbuai dengan perasaan masing-masing.. apa yang pasti air mata ini tidak pernah kering mengalir di bumi Madinah....

Dari Sa’ad bin Abi Waqas bahawa Rasulullaah Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam pernah bersabda: 

Tidaklah seorang yang meninggalkannya (Madinah) kerana kebencian terhadapnya, melainkan Allah akan menggantikan seorang lain yang lebih baik darinya. Tidaklah seorang yang tetap tinggal (di Madinah), bersabar dengan cubaan dan kesusahannya, melainkan aku akan memberi syafa’at dan menjadi saksinya pada hari Qiyamat.”
-Riwayat Imam Muslim



Rujukan :
Buku Panduan Umrah dan Ziarah
oleh : Mohamed Hanafizullah Bin Hj. Mohamed Mustafa
http://abunuha.wordpress.com/2010/03/23/bukit-uhud/

19 comments:

Anonymous said...

saya suka makan kurma ajwa...
nak pulak time pose ni...teliur...hehe
kat sana mahal tak...?

Ummi said...

Seronoknya tengok Ita menziarahi tempat Rasulullah dan makamnya juga...tentu sayu sekali hati kan..x sabar rasanya hati akak ni... ^___^

mashitah said...

Assalammualaikum kak ita, saya pun nak kongsi pengalaman kak ita..
sesungguhnya perjuangan Rasulullah untuk menegakkan islam hingga kini ..
saya pun pernah mkn juga kurma Rasulullah org blk haji bagi...sedap rasanya...

ilahjy said...

t.kasih ita perkongsian ini suka kak ilah baca dan lihat

Messy Mummy said...

terima kasih untuk semua info2 k.ita..kadang2 sebak hati sbb terbayangkan kesusahan rasulullah.. tapi baginda tetap bersyukur dengan siat satu yg ada.

akak Roosni said...

akak pun sama denga ita terlalu menghormati tempat suci tak ade gambar ynag dirakamkan masa kepergian kesana...takut timbul perasaan riya pun ya..masing-masing punya perasaakan..

sitiezahim said...

sebak saya baca entri kak ita ni...tima kasih sbb berkongsi..

MaDiHaA a.k.a Ratna said...

entry yang penuh berinfo & meninsafkan.. t.kasih ita...

fazian.batrisyia said...

Bila dengar cerita mcm ni hati ni meronta2 nak ke sana...Ya Allah, jemputlah aku ke sana juga...

Reen Tart Nenas said...

thanks kak for sharing this

Lily said...

Alhamdulillah rezeki akak dapat kesana......seronok kan....saya pun berazam untuk kesana...hihihihihi

deqieza said...

Subhanallah....rindu nye nak ke sini lagi...pilu rasa hati...

analisa said...

salam kenal kak lita, menarik sekali artikelnya.. kebetulan saya tinggal di kota madinah, rumah saya di antara masjid nabawi dan jabal uhud... kalo kak lita kesini bolehlah mampir rumah saya... ^^

fansuri said...

Terima kasih..

Unknown said...

terima kasih ita...terasa kerdil nyer diri ini dan sayu bila membaca artikal ita ...Ya Allah..ampunilah dosaku..

♥ bella nabila ♥ said...

mohon share =) terima kasih

Unknown said...

assalam.. kak ita boleh x sy nak copy paste info2 kat sini dkt blog sy? sy pergi umrah hujung thn lepas tp x sempat nak ambil gambar dkt tmpt2 ziarah :( bila baca post akak rindu rasenye dan sy nak buat entry dkt blog sy bila berkelapangan supaya sy x lupa dikemudian hari... nanti sy akan tag dkt kak ita ye.. terima kasih :))

Azlita Aziz said...

waalaikumussalam Noor fatin, boleh silakan ^_^

Unknown said...

terima kasih kak :D

Post Top Ad

test