PRU ke 13 - masam manis f

Breaking

May 4, 2013

PRU ke 13

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Hasil Nukilan : Usman Awang


Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia






10 comments:

Makngah said...

Thanks for sharing this, Ita. Menarik.. Sedih kan bila Melayu berpecah, hanya kerana mengejar kedudukan yg dicipta manusia, bukan mengejar keredhaan Allah. Semoga Malaysia terus aman diberkatiNya. Amin.

nin9landers said...

Politik adalah dari manusia kepada manusia...bukan kepada Allah swt...islam tempatnya paling tinggi...jgnn sesekali letakkan politik atas dr kedudukan islam..sekiranya org kita mampu berbuat sedemikian xkan berpecah melayu kita...tapi sayang...politik diagung2 kan hanya disebabkan kuasa dan duit...sudah nmpak tanda2 kejatuhan islam sebelum bangkitnya kuasa islam suatu hari nanti sepertimana yg dinyatakan dlm kitab suci Al-quran...wallauaklam

Gee® said...

semoga kita di kalangan orang Melayu yg beriman...

sitiezahim said...

slogan 1Malaysia tp nampaknya orang melayu yang racist. UMNO yang buat Perlembagaan tp sedihnya ramai orang Melayu percaya dengan omong kosong pasal bangsa lain yang sama2 menetap di Msia (tak termasuk Bangla ye..)hehe

SS said...

Hehe..nampak melayu yang racist..bangsa lain tak pula racist ya? Bukak company besar2, syarat terima bekerja, mampu berbahasa Mandarin..melukutlah melayu ditepi pagar. Jgn kan nak dpt kerja, nak diinterview pun tak akan merasa. Kalau Tunku Abdul Rahman tak kenal bangsa dia, dia tak perlu peduli dr zaman dia negotiate rights utk Melayu kerana dia sendiri cukup educated, kaum keluarganya cukup kaya raya. Tapi dia kenal bangsa dia..kita disini sekarang kerana orang tua kita bimbangkan kita. Kita sekarang mula alpa..ntah apa lah jadi anak2 cucu besok, tepuk dada tanya selera. Hakikat yg tak blh dinafi, kita dilahir berbangsa, berbudaya, berbahasa.

esiana said...

Indah sungguh bahasa kita sebenarnya..tapi yang diguna caci dan cerca sesuka hati

esiana said...

Indah sungguh bahasa kita sebenarnya, halus tapi penuh makna, tersentuh hati, dan minda terdiam sejenak untuk berfikir..apa sudah kita perbuat untuk anak-cucu kita?

Dazzling Dress said...

Tinggi sungguh kiasan yg di beri...mintak nak copy kat fb utk tatapan rakan2..terima kasih

Dazzling Dress said...

Tinggi sungguh bahasa kiasan...nak mintak copy nak share dgn rakan2 kat fb
terima kasih

Tengkubutang said...

waa.. terbaekkk!

Post Top Ad

test