Dah 10 hari kita berpuasa. Nampaknya suri rumah semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti untuk menyambut kedatangan Lebaran. Mana nak siapkan keperluan anak-anak, mana nak menghias rumah, mana nak menyediakan juadah di hari raya dan tak kurang juga yang mula sibuk menjahit langsir baru.
Bilalah suri rumah tangga ni nak dapat rehat dan bergoyang kaki ya.. 24 jam siang dan malam tak berhenti bekerja. Teringat kata mak ita dulu bila ita kadang kala menegur mak tak penat ke.. ialah ita lihat emak asyik buat kerja aje.. bilalah emak dapat rehat.. mak kata orang perempuan ni akan rehat bila dia menutup mata... Kini barulah ita faham apa maksud emak dahulu.. memang berat tugas menjadi suri rumah tangga..
Bagi mereka yang mungkin menjadikan bulan Ramadhan untuk menambah pendapatan, pastinya lebih sibuk lagi.. siang dan malam mengadap oven membakar kuih. Tak kurang juga yang bersengkang mata nak menyiapkan tempahan baju pelanggan. Walau apa pun tugasan yang terpaksa di pikul.. pesan ita jaga kesihatan selalu..
Hari ini ita kongsikan menu berbuka puasa pada 9 Ramadhan kemarin. Oleh kerana ita juga semakin sibuk menyiapkan tempahan pelanggan, ita masak yang mudah dan ringkas sahaja untuk keluarga. Resepi ni dah kerap kali ita kongsikan kerana ianya adalah menu kesukaan kami sekeluarga. Menu ini pasti tersenarai dalam menu berbuka puasa kami setiap tahun
MEE SOTO
Resepi asal : SOTO AYAM SEDAP
Resepi Oleh : Kak Ina KL
Mula-mula kita sediakan dahulu bahan-bahan untuk membuat kuah soto.
Bahan Kisar
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inc halia
1 inc kunyit hidup
3 batang serai ~ di titik. ( ita guna 2 batang sahaja sebab ita kisar semua sekali )
1 inc lengkuas ~ yang ni ita tambah
Bahan-bahan ini semuanya di kisar halus. Untuk serai tu terpulang kalau nak kisar sekali boleh nak titik aje pun boleh. Kalau kisar ambil bahagian perdu serai yang putih sahaja. Kalau nak kisar sekali serai tu, guna 2 batang sahaja pun cukup.
Bahan Tumis dan Rempah
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 sudu besar serbuk lada sulah atau lada putih ~ yang ni ita letak 1 sudu besar sahaja
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
4 biji pelaga
Kak Ina menggunakan serbuk jintan manis dan jintan putih. Anda pun boleh juga guna serbuk jintan manis dan jintan putih.
Ita menggunakan jintan manis dan jintan putih biji. Oleh kerana itu ita goreng tanpa minyak atau sangai dahulu hingga harum
Kemudian kisar halus
Bahan lain
1 ekor ayam ~ potong 4 ( ita potong kecil-kecil)
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
2 kiub ayam ~ yang ni ita tambah
2 sudu besar santan ~ yang ni ita tambah
Mula-mula kita panaskan minyak
Kemudian tumiskan bahan tumis, kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan biji pelaga, tumis hingga harum
Kemudian masukkan bahan yang di kisar halus
Masukkan juga jintan putih dan jintan manis serta lada sulah.
Masak hingga garing dan terbit minyak
Kemudian masukkan air secukupnya
Biarkan air mendidih
Bila dah didih, masukkan ayam dan kiub ayam
Biarkan kuah merenih
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Akhir sekali masukkan sedikit santan jika suka
Kacau dan biarkan kuah didih sekali lagi.
Keluarkan ayam dan toskan
Larikan sedikit ayam untuk di buat begedil ayam nanti
Panaskan minyak dan goreng ayam hingga keemasan
Kemudian boleh lah di siat halus.
* ayam ita pula, ita potong kecil, jadi ita tak payah nak siat, ita terus aje goreng.
SAMBAL KICAP
15 tangkai cili padi
6 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap manis
secubit garam
2 biji limau kasturi
Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan cili padi hingga layur
Masukkan dalam blender bersama kicap manis dan garam
Kisar halus
Tuangkan dalam bekas dan perahkan jus limau kasturi
Soto ni di makan bersama
- Mee Kuning atau nasi himpit atau mee halus
- Taugeh
- Bawang goreng
- Daun sup dan daun bawang ~ hiris halus
- Kacang goreng
- Suhun Goreng
- Daging ayam yang di goreng dan di siat halus
Letakkan nasi himpit dalam mangkuk
Letakkan daging ayam, taugeh, suhun dan kacang goreng
Curahkan sup
Taburkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang
Letakkan begedil dan juga sambal kicap
Dah pun siap kuah soto kita, Sekarang kita sediakan pula begedil ayam
BEGEDIL AYAM CRISPY
Begedil ayam ini juga resepi dari kak Ina, tapi ita olah dengan menggantikan daging cincang dengan ayam. Ita juga celupkan dalam Nestum untuk mendapatkan begedil ayam yang crispy. Selain Nestum anda juga boleh salutkan dengan oat atau bread crumb
1 kg kentang
250 gm ayam yang telah di rebus dan di siat halus-halus
2 biji putih telur
1/2 cawan bawang goreng
daun sup dan daun bawang ~ di cincang halus
2 sudu teh lada sulah
Nestum atau oat atau bread crumb secukupnya
garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk meggoreng.
Kentang di kupas, kemudian di hiris nipis bulat
Goreng kentang hingga kuning keemasan
Kemudian di tumbuk atau di lumatkan halus
Ayam yang kita ambil dari soto tadi, jangan goreng ya.. kita larikan sedikit yang tak goreng punya dan kita siat-siat halus atau kita ramas-ramas hingga halus
Anda boleh juga guna daging cincang, jika guna daging cincang, goreng sebentar daging dengan sedikit garam hingga daging empuk
Satukan kentang lumat dalam bekas.
Masukkan ayam atau daging cincang ( ikut pilihan anda), kemudian masukkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang yang di cincang, lada sulah dan garam secukup rasa
Kemudia kacau rata hingga semua sebati
Kemudian bulat-bulatkan kecil-kecil
Buat sampai habis
Telur, pecahkan dalam bekas, ambil putihnya sahaja, letakkan secubit aje garam dan kocok lepas
Panaskan sedikit minyak dalam luali leper. (jangan guna minyak banyak nanti ia serap minyak )
Celupkan begedil dalam telur dan kemudian gaulkan dalam Nestum
Kemudian masukkan dalam kuali
Bila dah masak atau keemasan, angkat dan toskan minyaknya.
AIR JAGUNG
Kordial Jagung Red Man secukupnya
Air
Gula secukup rasa
1/2 tin Jagung manis dalam tin
1 tin susu cair
2 sudu besar Susu pekat manis
Masak air bersama gula. Ita masak air dalam 1 kole bersama 6 sudu besar gula.
Masak hingga air didih dan gula melarut
Masukkan Kordial jagung Red Man atau apa-apa brand yang terdapat di pasaran. Yang ni agak-agaklah kan ikut kepekatan dan aromanya.
Masak lagi hingga mendidih
Masukkan susu cair dan jagung dalam tin
Tutup api dan masukkan susu pekat manis. Rasa ikut kesesuaian citarasa.
Biarkan sejuk
Hidangkan bersama ketulan ais.
5 comments:
soto tu fevret saya tu...suka sgt...nanti nak try buat
sedapnya soto kak ita.. nak kena buat ni
Cantik2 n sedap2 semuanya...hehhehe x rasapn dh tau.. sgt tergoda dgn presentation awk...
Wahhh sedapnya.. wlupn x rasa lg ni sure sedap22.. tambah la presentation yg btl2 menarik.. so yummy
serious tengok blog kak ita ni leh menangis. hahaha. terseksa jiwa raga
Post a Comment