Bubur Anak Lebah sedap! - masam manis f

Breaking

Oct 14, 2015

Bubur Anak Lebah sedap!


Pernah makan bubur anak lebah. Ita memang tak pernah makan. Bukan kata makan namanya pun ita tak pernah dengar.
Hari tu ita ada ternampak seorang rakan dari group Masak Apa Hari Ni, kongsikan bubur ni. Macam unik aje ita nampak. Tu yang macam nak tahu lebih lanjut tentang bubur nan satu ini di samping teringin nak merasa kesedapannya.



Ita mulalah google untuk cari resepi. Tak banyak yang kongsikan resepi dan tak ramai yang sharekan. Mungkin bubur Anak Lebah ini agak asing atau ada nama lain di sebalik namanya yang unik ini. Akhirnya bertemulah ita dengan blog Norlie yang ada kongsikan resepi yang ita hajatkan ini.

Menurut Norlie, resepi ini berasal dari negeri Perak. Namun tak semua orang Perak mengenali resepi bubur anak lebah ini kerana ia lebih popular di sekitar Perak tengah. hihi ita yang orang Johor ni lagilah tak kenal kan.. kita ni manalah ada saudara dari Perak, tu yang banyak makanan dari negeri Perak yang ita tak berapa tahu.

Menurut Norlie lagi, bubur ini kebiasannya di hidangkan atau di sediakan bagi menyambut kelahiran orang baru. Maksudnya bila ada yang dapat ahli keluarga baru, mereka akan adakan kenduri kendara dan bubur ini antara menu yang wajib ada sebagai pemanis. Atau jika tak buat kenduri pun, bubur ini akan di masak dan di berikan pada jiran tetangga, sebagai tanda mereka dah menyambut cahaya mata baru.


Oh barulah ita faham.. kira peranannya samalah macam bubur putih bubur merah di Johor ni. Kalau kat Johor pula, bila ada sesuatu berita baik, biasanya orang Johor akan sediakan bubur putih bubur merah untuk di agihkan pada jiran tetangga menandakan rasa kesyukuran. Biasan ianya bukan sahaja untuk kelahiran cahaya mata sahaja, tapi juga jika hari ulang tahun, anak lulus periksa atau apa-apa sahaja berita baik yang harus di kongsikan bersama. Tapi sekarang adat atau budaya seperti itu juga sudah semakin terhakis di Johor ni.. Kalau ada pun mungkin di kampun-kampung. Sedih kan.. kalaulah amalan itu masih di teruskan ianya sedikit sebanyak merapatkan hubungan dan semangat kejiranan.

Ok lah hari ini ita nak kongsikan resepi bubur anak lebah ni. tapi jangan risau.. tak ada anak lebah.. atau mak lebah.. atau bapak lebah yang di masukkan dalam resepi ini.. madu lebah pun tak ada.. tapi tulah istimewanya.. manalah mereka dapat nama yang unik untuk bubur yang sedap ni.

Serius ita katakan bubur ini memang sedap! Rasanya macam lain dari yang lain.. nak kata macam pengat... tak jugak.. nak kata macam bubur candil pun tak jugak.. rasanya sedap lebih lagi bila di makan bersama pulut yang lemak-lemak tu.. memang sedap lah.. tak rugi mencuba!.. Seharusnya bubur ini di ketengahkan.. mungkin juga boleh di jual di bazar Ramadhan untuk hidangan buka puasa. Memang sedap sangat..

Terima kasih tau, pada kawan-kawan Masak Apa Hari Ni yang kenalkan ita dengan bubur ni.. terima kasih juga pada Norlie atas resepi yang sedap ni..
Resepi Norlie agak banyak, ita buat separuh dari adunan sahaja. kalau rasa nak buat tuk makan kenduri, boleh lah guna resepi Norlie.



BUBUR ANAK LEBAH
Resepi Oleh : Norlie

Resepi Norlie agak banyak ya sukatannya. Ita cuma buat separuh dari adunan yang di cadangkan.

Sebelum membuat bubur ni kita sediakan dahulu pulut, kerana bubur anak lebah ni enak di makan bersama pulut.

ADUNAN PULUT

1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam

Rendam dahulu pulut dalam 2 jam. Kemudian cuci bersih
Satukan pulut bersama santan dan garam dan tanak hingga masak.
Boleh juga pulut ini di kukus. Tapi ita tanak aje dalam periuk nasi, mudah dan cepat.
Bila dah masak ketepiakan.
Sekarang kita sediakan adunan tepung pula

ADUNAN TEPUNG

1 cawan tepung beras
1/2 cawan air pandan
secubit garam
1 sudu teh air kapur ~ ambil air yang jernih


Mula-mula sediakan air pandan dahulu. Ambil dalam 4 helai daun pandan dan kisar bersama dengan 1/2 cawan air. Kemudian tapis
Dalam bekas, satukan tepung beras bersama garam
Tuangkan air kapur dan air pandan dalam adunan. Jangan tuang semua ya air pandan tu. Tuang sikit-sikit dan uli hingga jadi doh yang boleh kita bulat-bulatkan
Kalau air terlebih dan adunan lembik tambah aje sikit lagi tepung. Kalau air terkurang tambah air biasa pun tak pe
Kemudian bulat-bulatkan sebesar pingpong dan ketepikan

Sekarang kita sediakan kuahnya

KUAH SANTAN

1 cawan gula pasir
1/2 buku gula Melaka ~ gula Melaka ni kalau nak letak boleh tak letak pun boleh. Tapi kalau letak lagi sedap sebab rasa lemak gula Melakanya.
1 helai daun pandan di simpul
Air secukupnya
300 ml santan pekat ~ ita guna santan KARA
secubit garam

Dalam periuk masukkan gula pasir , gula Melaka, air dan daun pandan
Masak hingga gula larut
Kemudian tapis untuk buang kekotoran pada gula Melaka
Masukkan semula dalam periuk dan masak semula atas api sederhana
Tambahkan santan dan garam secukup rasa
Bila dah masuk santan kena senantiasa kacau supaya tidak pecah santan
Perlahankan api dan parutkan doh tepung tadi menggunakan sagat yang berlubang atau boleh guna acuan maruku.
Sambil parut sambil kacau ya takut santan pecah
* kuah tadi biar cair ya atau kuahnya tu lebihkan sedikit air sebab bila parut tepung tu kuahnya akan pekat sikit, sebab tepung tu sendiri akan memekatkan kuah
Bila nampak tepung tu dah mula terapung bermakna bubur kita dah masak.


Hidangkan bubur yang telah masak bersama pulut yang telah kita tanak tadi. Sedap sangat.. Selamat mencuba!











9 comments:

Unknown said...

Salam maal hijrah dari kaknoor utk Ita ya..
Alahai kaknoor baru tau ada bubur macam ni mmg sedap dah terasa di tekak ni, kalau gandingkan dengan pulut, boleh lah kaknoor copy resepi ya Ita, insya allah tunggu masa terluang boleh try..

nini said...

Mcm sedapppp aje buburniiik

Unknown said...

Kak ita..saya pun tak pernah dengar nama resepi ni apatah lagi nk merasanya..unik nama bubur ni..mungkin sbb bntuk tepung yang di parut tu nmpak mcm anak lebah..hihi..
Bubur putih bubur merah tu apa pula kak ita..ini pun saya tak pernah dengar..

Asmidar said...

salam kak... slalu bubur ni orang buat masa kenduri naik buai dan cukur jambul. org utara selalu buat ni... mmg sdap mcm cendol dalam kuah santan. kdg2 diorang mkn ngan bertih beras dan lempeng.

Unknown said...

Dah 25 thn kawen dgn org perak, tak pernah nampak dan rasa pun bubur yg cute ni. Pernah la jgk dengar namanya.
Tq ita

fazianbatrisyia said...

sy pernah jumpa resepi ni dlm majalah. dengar namanya pon dah tertarik. tp disebabkan belum teringin nak mkn belum cuba lagi. yum..yummm...

Anna said...

Salam kak, baru minggu lps makan bubur ni dan sangat sedap. Opah jiran kat kg kuala kangsar yg buatkan. Terima kasih utk resepi. Nak try buat sebab sedap sangat.

Anna said...

Salam kak, baru minggu lps makan bubur ni dan sangat sedap. Opah jiran kat kg kuala kangsar yg buatkan. Terima kasih utk resepi. Nak try buat sebab sedap sangat.

Mesah Hilir Residence Homestay said...

Bubur ni warisan turun temurun orang rawa. Banyak di Daerah Gopeng, Tapah dan Tanjung Malim. Lagi sedap kalau dimakan selepas disimpan dalam peti ais.

Post Top Ad

test