Apr 16, 2017

Nasi Lemak Mudah Dan Ringkas


Ita sediakan nasi lemak ni 2 hari yang lalu. Sebenarnya ita seringkali menyediakan nasi lemak untuk sarapan atau makan malam keluarga. Rata-rata anak-anak dan suami ita suka akan nasi lemak yang membuatkan ita kerap memasak nasi lemak untuk hidangan keluarga.

Nasi lemak makanan yang cukup popular di Malaysia. Kini di makan tidak kira untuk sarapan pagi mahupun untuk makan malam. Cara penyediaan nasi lemah cukup mudah dan ringkas sebenarnya, tapi kini terdapat pelbagai pilihan lauk pauk yang di makan bersama nasi lemak menjadikan ianya satu hidangan yang cukup di gemari tidak mengira bangsa dan kaum.

Berita gembira untuk adik-adik yang mula berjinak-jinak ke dapur. Sekarang kak ita ada rancangan baru.. "mari memasak bersama kak ita " di ig kak ita. Bagi adik-adik yang baru cuba-cuba nak ke dapur,  yang baru mula nak memasak untuk kelurga, bolehlah follow kak ita di ig kak ita azlitaaziz
Buat masa ini ada beberapa resepi yang kak ita tunjukkan cara memasaknya dan salah satunya adalah resepi set lengkap Nasi Lemak ini. Selain itu kak ita juga ada kongsikan bagaimana kak ita menyediakan kek 3D berbentuk teddybear bagi adik-adik bakers kita yang baru berjinak-jinak dalam dunia bakers. Insyaallah jika ada kek deco yang lain kak ita akan kongsikan di sana. Jadi rajin-rajinlah jenguk ig azlitaaziz ^_^ jangan lupa like dan follow ya!

Sebenarnya ita terpanggil untuk menunjukkan cara memasak, setelah ita dapati masih ada lagi adik-adik ita di luar sana yang masih takut ke dapur dan masih lagi tidak pandai memasak. Ada yang anak dah masuk 3.. 4 pun.. masih lagi tak pandai memasak. Aduh! sedih akak...
Memasak bukanlah satu yang sangat susah.. ia cukup mudah sebab tu kita seringkali dengar orang kata.. ala resepi campak-campak aje.. itu sudah cukup mengambarkan yang memasak ni sangat mudah semudah ABC.

Sebenarnya ita dulu pun tak pandai masak tau! ialah ita mempunyai adik beradik yang ramai.. dan emak telah membahagikan tugas mengurus rumah tangga kepada kami adik beradik. Ada yang tugasnya masak, ada mengemas, ada yang basuh kereta, ada cuci baju, ada lipat kain.. dan tugas ita mengemas dan pergi kedai.. sebab itu ita memang tak pandai masak.. kalau kemas rumah tak payah cakap memang tip top! ( amboi angkat bakul nampak.. hihi )

Bila berumahtangga, adoiii... seram sejuk di buatkannya lebih-lebih lagi bila kena tinggal dengan mak mertua. Mujur masa tu ita kerja jadi masa ita tak banyak di rumah. Bila tinggal rumah sendiri.. barulah ita kerkial-kial nak belajar masak. Apa yang membuatkan ita nak belajar masak bila mak ita pesan " kita kalau nak suami sayang kita.. jaga makan pakai dia... yang paling penting jaga perut dia.. "  mak mertua ita pula selalu ingatkan ita supaya jangan biarkan orang lelaki masak untuk kita..
Kata-kata dari dua insan yang amat ita sayangi inilah yang membuatkan ita berkobar-kobar dan berazam untuk pandai memasak.

Ada orang dia akan kata " saya dah kata kat suami sebelum kawin lagi.. saya tak pandai masak.. jadi bila dah kawin jangan paksa saya masak sebab saya memang tak tahu masak"

Adik-adik yang kak ita kasihi dan sayangi...
Jangan jadikan kata-kata kita sebagai senjata kita untuk mengelak atau melepaskan tengkuk dari menjalan tugas dan tanggung jawab. Memaglah semua orang pun tak pandai masak.. tapi kalau kita tak nak belajar dan perbaiki diri.. sampai bila..? kalau tak pecahkan ruyung mana nak dapat sagunya.. tak ada satu orang manusia pun yang lahir-lahir terus pandai masak.. nak seibu daya tak nak seribu dalih. Sebab tu ada pepatah atau kata-kata orang tua.. orang perempuan ni belajar setinggi langit pun akhirnya duk ceruk dapur jugak! itu menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab kita sebagai ibu dan isteri..

Adik-adik sayang tak kat suami...? sayang tak kat anak-anak..?
haaaa... kalau sayang haruslah di belai macam kita sayang kucing.. kita belai.. kita bagi makan baik-baik.. ni tahu sayang aje... tapi tak nak masak untuk suami dan anak-anak.. kalau suami cari orang lain.. pandai pulak meraung.. melakak..

Ok kak ita tak nak membebel.. tolong ya adik-adik.. cuba belajar masak.. tak susah mana pon.. akak percaya bila adik-adik dah mula memasak pasti rasa seronok sangat!! bila tak masak rasa macam ada yang tak cukup lengkap tugasan kita sehari.. ala.. belajar masak yang simple.. simple aje dulu.. akak percaya bila adik-adik akak dah mula masak pasti suami dan anak-anak dah tak nak makan kat luar dah.. mesti nak rasa air tangan ibu tersayang...

Jom kita semak resepi nasi lemak mudah dan ringkas. Untuk cara memasak boleh lihat di ig ita azlitaaziz


NASI LEMAK MUDAH DAN RINGKAS

3 cawan beras ~ cuci bersih dan toskan airnya
3 cawan air
* jika masak tak ramai boleh lah kurangkan sukatan beras. Sukatan air dan sukatan beras adalah sama jika gunakan beras biasa. Tapi bergantung pada beras jugak. Jadi harus kenal dengan beras yang di gunakan.
3 sudu besar santan KARA ( santan ni campur dengan air * kalau guna 2 cawan beras santan letak 2 sudu )

1 sudu teh halba
1 sudu teh garam halus
3 ulas bawang merah ~ di hiris
1 batang serai ~ di ketuk perdunya
2 inc halia ~ di titik atau di hiris

Dalam periuk nasi, panaskan  minyak
Kemudian tumiskan bawang hiris, halia, daun pandan, dan serai hingga layur.
Bila dah layur dan naik bau, baru masukkan halba. Halba jangan  tumis awal sebab ia cepat hangus, bila hangus nanti rasa pahit
Kemudian masukkan santan dan biarkan ia didih
Bila dah didih, masukkan garam secukup rasa
Akhir sekali masukkan beras
Jika airnya kurang boleh tambah air, mengikut sukatan air untuk memasak nasi anda
Tutup periuk dan biarkan nasi tanak seperti biasa

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS 

1 cawan ikan bilis ~ di siang dan di goreng

Bahan kisar
1 cawan cili kering ~ potong , rendam hingga lembut dan di kisar
10 ~ 15 biji bawang merah ~ dikisar ( bawang letak lebih-lebih nanti kuah sambal manis )
5 ulas bawang putih ~ dikisar
belacan sebesar 50 sen. Di kisar bersama cili ( kalau tak nak sambal bau belacan yang kuat bakar dulu belacan tu)

1 sudu besar asam jawa campur air dan jadikan jus, ambil jusnya sahaja
1 sudu teh garam 
6 ~ 7 sudu besar gula ( gula ni letak sikit dahulu, rasa manisnya. Biasa ita letak 6 sudu )
1/2 sudu teh aji no moto jika suka

Panaskan minyak. Bila buat sambal minyak kena banyak supaya bahan tumis kita dapat di tumis garing. Lagi sau sambal kita tahan lama.
Bila minyak dah panas gorengkan ikan bilis hingga garing
Angkat dan toskan
Panaskan minyak semula
Bila minyak dah panas, masukkan cili kering, belacan, bawang merah dan bawang putih yang telah di kisar. Tumis hingga garing dan pecah minyak
Tumis ni lama-lama ya sebab bagi dia betul-betul garing dan hilang semua bau maung lada.
Bila dah garing masukkan air asam jawa
Lepas tu perasakan dengan garam
Kemudian masukkan gula. Gula ni kita letak banyak sebab sambal kalau manis-manis pedas sedap! Bila dah letak gula warnanya akan bertukar kemerah-merahan berkilat.
Biar dia merenih kejap 
Kemudian tutup api dan biarkan sejuk
Bila sambal dah sejuk baru masukkan ikan bilis, supaya bila makan ikan bilih masih rangup!

SAYUR KACANG GORENG

1 ikat sayur kacang panjang ~ potong serong
1 batang lobak merah ~ potong mancis
1 batang cili merah ~ hiris nipis

bahan hiris

5 ulas bawang merah ~ di hiris
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inc halia ~ hiris halus

Panaskan minyak dalam kuali
Bila minyak dah panas, masukkan bahan hiris dan masak hingga layur
Masukkan sayur yang telah di hiris
Masak hingga sayur layur tapi masih rangup ( jangan lama sangat masak sampai lecur )
Perasakan dengan garam dan secukup rasa
Angkat dan hidangkan bersama nasi lemak





2 comments:

LiNa_Pg said...

Assalam kak ita..
Resepi campak2 tu yg sedap kan?Masak pun sat jer dah boleh makan

Azya Mikayla said...

Salam akak, thanks for the recipe. :) Nak tanya kalau 3 cawan beras ni selalunya anggaran untuk berapa orang makan?

- azya -

AzlitaMasamManis. Powered by Blogger.