Pau kacang merah, gebu dan sangat sedap - masam manis f

Breaking

Sep 9, 2015

Pau kacang merah, gebu dan sangat sedap




Seperti Yatie, ita juga agak fobia nak membuat pau. Biasanya ita beli aje.. Dulu ita selalu beli dengan seorang kakak ni, dia jual di hadapan sekolah agama Taman Daya. Bila hantar atau ambil Dalili mesti ita singgah untuk membeli pau kakak tu. Paunya sedap! lembut dan sangat gebu, putih mulus pulak tu. Ita suka paunya bukan sahaja kerana kegebuan dan kelembutannya, tapi kerana inti paunya juga sangat sedap! Ada pau kacang merah, kari ayam dan daging, pau kelapa dan yang paling menjadi kesukaan ita adalah pau sambal, memang terangkat habis.

Selalu anak-anak sekolah yang rajin beli paunya. Kalau tak silap 1 biji RM 1.50. Tapi kenyanglah kalau makan pau kakak ni.. besar pulak tu.. Kalau ita pasti 2 ketul pau sambal.. layan pulak dengan secawan teh atau milo, memang kenyangnya sampai jejak ke malam.
Masa tu tak terfikir pula nak minta resepi.. maklumlah orang meniaga. Kita yang segan nak menanya.




Tapi tulah... kalau nak suruh buat memang fobia. Masalahnya pau tak jadi mulus, montok dan gebu. Sebaliknay mengerekot dah macam bulan purnama pun ya jugak berkawah sana sini dan berkedut seribu. Aduyaiiii... sedih melihatkan pau yang keras kematu.



Ita fikir dua tiga kali untuk mencuba resepi pau ni.. takut sejarah lama berulang kembali. Tapi sebenarnmya ada tips dan panduan yang harus di patuhi dalam membuat pau ni. Oo.. barulah tahu. Sekarang dah tak adalah rasa segan bila nak membuat pau malah boleh buat frozen lagi untuk sarapan pagi, bekalan anak-anak atau untuk merai tetamu yang bertandang.


Terima kasih pada tuan empunya resepi, kepada sahabat-sahabat yang sudi kongsikan juga. Kepada yang fobia macam ita bolehlah mencuba.. insyaallah kalau ikut kaedahnya pasti dapat menghasilkan pau yang lembut, gebu dan mulus. Dengan resepi yang sama anda boleh menggunakan inti yang berlainan, mengikut citarasa anda.

Resepi pau ni dapat banyak tau! kalau nak buat frozen tu oklah kot.. atau nak buat dalam pelbagai inti. Tapi kalau nak makan untuk sekali aje.. ita cadang buat 1/2 adunan sahaja. Ita buat pun dapat 3 kali kukus. Oleh kerana kukus ita besar muatlah dalam 15 ~ 16 biji sekali kukus.



Kalau nak pau yang putih mulus, ita cadangkan menggunakan tepung pau. Ita tak guna tepung pau, sebaliknya hanya menggunakan tepung gandum sahaja. Sebab tu pau ita tak putih melepak.

Sebelum membuat pau, kita kenalah sediakan intinya dahulu. Inti ni, kita sediakan 1 hari awal. Untuk pau ita kali ini ita menggunakan inti kacang merah. Inti ni dapat banyak juga. Kalau nak guna sikit aje buat 1/2 daripada adunan. Ia memakan masa jugak kalau nak buat, bagi yang nak buat meniaga boleh cuba resepi ni, tapi kalau nak makan sekali sekala untuk keluarga, boleh juga beli inti yang dah siap. Cuma kadang kita risau sikitlah sebab tak tahu siapa yang membuatnya.


INTI KACANG MERAH
Resepi Oleh : Auntie Ah Khoon
Di kongsikan Oleh : Dapurzitah

1 kg kacang merah besar ~ basuh bersih dan rendam sebentar
1700 ~ 2000 gm gula pasir ~ manis bergantung pada selera, lebih gula inti tahan lebih lama
1 kg minyak jagung
garam secukup rasa
Tepung gandum secukupnya
1 helai daun pandan ~ di simpul


Kacang yang kita dah rendam tadi cuci bersih
Rebus kacang hingga mendidih.
Tutup api dan biarkan periuk bertutup selama 2 hingga 3 jam. Anda akan dapati kacang akan mengembang besar.
Rebus semula hingga kacang lembut
Bila kacang dah lembut angkat biarkan sejuk sebentar. Air rebusan jangan buang ia di gunakan untuk kisar kacang
Bila dah sejuk, kisar kacang dengan air rebusan (jangan banyak ya, sekadar untuk kisar kacang) dan kisar kacang hingga halus
Masukkan kacang dan daun pandan ke dalam kuali, Kacau sampai mendidih
Kemudian masukkan gula
Lepas tu masukkan garam halus secukup rasa lemaknya.
Bila dah mendidih , berkilat dan sebati, masukkan minyak
Kacau sampai minyak betul-betul sebati dengan kacang
Biarkan ia mendidih dan agak likat


INGAT! guna api yang kecil sahaja supaya kacang tidak hangit.
Kacang yang hangit akan memberikan aroma dan rasa yang kurang enak
Sentiasa kacau jangan sampai berkerak
Kemudian ambil tepung gandum anggaran 1/2 cawan dan ayakkan atas adunan kacang sambil sebelah tangan lagi mengacau
Ayak tepung sikit-sikit sambil di kacau
Bila adunan tidak melekat pada kuali atau mula melekang dari kuali, maka masaklah inti kacang ni tadi
Bolehlah tuang dalam bekas dan sejukkan
Simpan dalam peti ais ( Chiller ) untuk tahan lama


PAU
Resepi Dikongsikan Oleh : Iza Lan
Rujukkan : Yatie

1 kg tepung pau  atau tepung gandum
1 sudu teh baking powder
Kedua-dua bahan di atas di ayak bersama

1 sudu teh garam
1/2 cawan minyak jagung atau minyak masak
2 1/4 cawan air
11 gm yis
1 sudu makan gula
2 sudu makan susu pekat manis
1 biji telur

Satukan bahan di atas dan kacau hingga gula larut
Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar
Tuangkan adunan cecair sedikit-sedikit sambil di uli hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan
Tutup doh dengan kain dan biarkan 5 minit



Ambil sedikit doh dan bulatkan sebesar bola pimpong ( anggaran berat 35 gm )
Kemudian leperkan
Masukkan inti yang telah di bulat-bulatkan sebesar guli ( anggaran berat 12 gm )
Tutup dan kemaskan
Letakkan doh atas lapik kertas minyak yang di potong segi empat atau bulat, atau letakkan atas paper cup yang di leperkan sedikit


Susun dalam kukusan, dan jarakkan sedikit antara satu sama lain
Biarkan doh naik 1 kali ganda ( jangan terlalu naik ya, sebab ia akan mengecut pula bila di kukus dan membuatkan permukaannya mengerutu dan keras)
Pastikan kukusan telah di panaskan terlebih dahulu hingga airnya betul-betul mendidih
Balut tutup kukusan dengan kain supaya air dari kukusan tidak menitis atas pau yang membuatkan permukaan pau berkawah.
Kukus pau selama 7 hingga 10 minit


Bila dah masak, angkat kukusan dengan penutupnya sekali. Jangan buka tutupnya dahulu, biarkan sebentar baru di buka tutup kukusan. Ia mengelakkan pau terencat dan mengecut.
Keluarkan pau dan sejukkan atas redai


Tips untuk frozen
Setelah pau sejuk dari redai, simpan dalam bekas plastik yang kedap udara. Masuk dalam bag plastik pun boleh.
Simpan dalam peti ais
Bila nak makan keluarkan dan kukus semula selama 5 minit











25 comments:

Ziana Eunos said...

sedapnyaaa pau dia ^_^

Unknown said...

sedapnya...tq kak atas resepi..nanti nk cuba

Ruzita Idias Ismail said...

Assalamualaikum.. sama lah dengan Ita kat sini.. kali pertama buat pau masa umur 16 tahun.. masa tu ambil course hotel & katering kat vokesional.. pastu lama tak buat.. Bila dah berumahtangga, buat-buat tak jadi asyik berkawah dan berkedut.. fobia jap. Tapi rasa geram nak buat jugak sampai jadi.. hmmm..bila dah jadi tu..lagak lah pulak..hehehehe.. Ita suka gaya penyampaian Ita Masam Manis.. jelas dan lengkap..

Sesiapa yang sudi..jemput singgah kat blog Ita ya.. http://ruzitakitchen.blogspot.com

A.A.R said...

First time nak buat pau dan banyak resepi yg saya tengok. Macam Azlita cakap, cuak jugak nak cuba kali pertama ni. So dalam banyak2 resepi yang saya cari, resepi ni mmg nmpk menarik dengan inti kacang merahnya yg memang buat saya terliur.
Harap-harap menjadilah air tangan saya nanti..
Thank you Azlita for the awesome recipe.. !!!!

Unknown said...

Thank you kak azlita.. dah cuba memang lembut dan sedap.. tapi saya buat inti kelapa manis.. satu keluarga suka... memang terbaiklah :-)

Unknown said...

Kalo inti kelapa same jgk ke carenye bile nk d bt frozen?n brp lme blh thn sblm d jual?

sosoo said...

inti dh siap...alhmdulillah mnjd...cuma hr ni nk smbung wt pau ..jazakallahkhukhairan ilmu nye dlm membuat kuih pau kak ita...

ROSLINA MAT NOR said...

Alhamdulillah dh dapat resepi yg terbaik dan sedap.
Ank2 suka sgt..nk kena simpan elok2 resepi ni..tqvm..

Unknown said...

Sis...tq sangat share resepi ni...alhamdulillah pertama kali saya buat seriously jadi...gebu gebas...tq..anak2 suka sangat2

Azirahman said...

assalam...minta izin saya share resepi ini di blog saya untuk rujukan nanti....maaf yer copy dulu baru minta izin.

noorhapsahtahir said...

mesti cuba ni

cahaya kejayaan said...

Harap2 menjadi.. tgh rehatkan doh sebentar..

Car9 (kar-nine) said...

Tq.sedap.sangat.dah Cuba.

Unknown said...

Sis.. yis kena kembangkn dulu x sebelum masa ingredients yg lain?

Unknown said...

Sis.. yis kena kembangkn dulu x sebelum masa ingredients yg lain?

Unknown said...

Sis.. yis kena kembangkn dulu x sebelum masuk ingredients yg lain?

Faz said...

sy dh try mmg betul mnjadi...tq sangat

Shazana Adanan said...

Terima kasih sis. alhamdulillah jadi. tp ade sesape tahu kalau pau ni boleh berapa kali kukus semula?

Unknown said...

Terima kasih byk, happy samgat sbb pau gebus gebas, just follow steps yg diberi.

Rizzuan Shah said...

gula memang 2kg ke? banyak tu..

Rizzuan Shah said...

gula memang 2kg ke? banyak tu..

Unknown said...

Sy dh cuba n jd...suka sgt...alhamdulillah...time kasih atas resepinya dan halalkan ye

Unknown said...

Bagaimana cara untuk isi inti kaya dalam doh pau ... sbb sy cuba buat tak jadi sbb kaya tu terkeluar2

Eh! Pop Media said...

Salam. Saya Amir dari iluminasi[.]com.

Saya ingin memohon keizinan puan untuk berkongsi sebahagian info dalam artikel ini: norazlitaaziz[.]blogspot[.]com/2015/09/pau-kacang-merah-gebu-dan-sangat-sedap[.]html

Resepi tidak akan diambil. Namun, kredit dan link kepada blog puan telah diberikan

Puan boleh melihat artikel tersebut di sini: iluminasi[.]com/bm/resepi-pilihan-pau-paling-lembut-dan-gebu[.]html

Jika puan mahu saya membuang kandungan yang diambil, boleh hubungi saya dengan kadar segera melalui email: amirwrites_271@yahoo.com.

Maklumbalas dari pihak puan adalah amat dihargai :)

p/s: sila buang tanda " [ " dan " ] " untuk buka link

sakinah (SMS) said...

Nak try lah resepi ni. Tengok apa jadi? Hehehe.

Saya jarang buat pau. Musim PKP ni, terasa nakan pau pulak.Thanks ya share resepi.

Jemput singgaj ke blog sakinahms.blogspot.my

Post Top Ad

test